Saturday, June 30, 2012

Katilku dalam bilik C403

Seperti yang dirancang walaupun tidak ditetapkan, seharusnya aku bertolak jam 3.30 petang.

Sempat sebenarnya kerana hari pertamaku di tempat bertugas tidak mengambil masa yang panjang tetapi aku telah menukar perancanganku ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu memandangkan aku terlalu letih dan tidak cukup tidur.

Apatah lagi, hari Isnin adalah cuti Hari Belia.

Bererti aku tidak perlu tergesa-gesa pulang ke Singapura pada hari Ahad apabila aku tiba di Kuala Lumpur pada hari Sabtu.

Mahirah tidak dapat menemaniku.

Aku perlu ke Kuala Lumpur kerana perlu mendapatkan barang-barangku yang masih ditinggalkan dalam C403.

Barang-barang yang telah dimuatkan dalam dua bagasi telah selamat kembali ke tanah air bersamaku meskipun sampai ke hari ini, hanya satu bagasi yang sudah aku kosongkan manakala satu lagi telah kubuka dan belum kukosongkan sepenuhnya.

Entah di ruang mana harus aku letakkan barang-barangku sedangkan bilikku sudah agak penuh dengan barang-barang yang sedia ada dan barang-barang yang dibawa pulang.

Aku perlukan sebuah rumah.

InsyaAllah, aku perlu kumpul wang dan rancang kewangan ke arah itu.

Berbalik kepada C403 yang dekat di hati dan jauh di mata, InsyaAllah aku akan menghuni C403 pada hari Sabtu dan Ahad kerana aku bercadangkan menyerahkan semula kunci pada hari Isnin.

Perasaan hiba sewaktu melangkah kaki meninggalkan C403 yang menjadi kediaman masih terasa.

Perasaan hiba sewaktu melangkah kaki meninggalkan katil yang menjadi tempat tidurku masih terasa.

Perasaan hiba yang mencengkam qalbu pada 25 Jun 2012 iaitu hari Isnin yang lalu.

Belum pun seminggu.

Subhanallah.



Emosi cukup terusik hingga tiada daya kekuatan untuk menanggalkan cadar dan sarung bantal.

Sewaktu mengemas barang-barang sebelum pulang ke tanah air pun, aku kian terkaku selalu setiap kali emosi terusik dek memori di dalam bilik bersama barang-barang tertentu.

Cadar dan sarung bantal adalah salah satu daripadanya.

Bukan kerana cadar dan sarung bantal itu baru dipasang tetapi katilku itu...

Katilku itu telah menjadi tempat tidurku selama tiga tahun di kolej (meskipun tidak sampai tiga tahun kerana aku masuk ke bilik C403 pada 1 Oktober 2009).

Tiga tahun.

Kurang daripada tiga tahun sebenarnya.

Meninggalkan kediaman.

Menghentikan kelaziman.

Setelah tiga tahun....

Sedangkan sebahagian besar masaku selama tiga tahun itu banyak dihabiskan dalam bilik C403.

Di atas katil itu.

Meskipun pada mulanya aku berada di tingkat atas katil dan kemudian beralih ke tingkat bawah pula, di atas katil itulah....

Di atas katil itulah aku membaca, menaip tugasan, menghafal, belajar dan berfikir.

Di atas katil itulah aku melungsuri internet, berFB, berYahoo Messenger dan berblog.

Di atas katil itulah aku menangis, merajuk, bersendirian dan bertarung dengan emosi dalam diri.

Di atas katil itulah aku tidur meskipun tidurku bukan pada waktu malam dan tidurku boleh dikatakan tidak begitu selesa sebenarnya.

Dalam ketidakselesaan, kelaziman membiasakan.

Emosi cukup terusik apabila meninggalkan katilku itu tanpa menanggalkan cadar dan sarung bantal kerana pada hakikatnya, aku tidak pernah walau sekalipun menanggalkan cadar dan sarung bantal tanpa berganti cadar dan sarung bantal yang lain.

Tidak elok rasanya ditinggalkan tilam itu tidak bercadar dan bantal itu pula tidak bersarung walaupun bercuti.

Namun, kali ini aku tidak lagi bercuti tetapi telah kembali ke tanah air.

InsyaAllah, aku akan menghuni bilik C403 pada hari Sabtu dan Ahad sebelum menyerahkan kunci ke pejabat pada hari Isnin.

Pecah hati... lagi.

Friday, June 29, 2012

Kacang Phool Perantau Kembali

Resipi Kacang Phool ini telah aku perolehi daripada salah sebuah lelaman blog peribadi.

Namun oleh sebab resipi ini adalah percubaan pertamaku memasak setelah kembali dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur, aku telah menamakan resipi ini dengan nama 'Kacang Phool Perantau Kembali'.

Bukan sahaja percubaan pertamaku memasak setelah kembali dari Universiti Malaya, resipi Kacang Phool ini merupakan percubaan pertamaku.

Resipi ini dekat di hati kerana berkait dengan program Singgah Singapura yang disertai rakan-rakan seperjuangan ataupun anggota keluarga seakademi dan sesesi.

Resipi asal dapat diikuti melalui lelaman blog peribadi yang beralamat berikut:

http://sawanila.com/v10/2010/06/kacang-pool-aka-madames-foul/

Manakala resipi yang telah aku ubah suai daripada resipi asal dan aku namai Kacang Phool Perantau Kembali adalah seperti berikut:

Bahan kisaran:
1) 5 biji bawang besar
2) 1 ulas bawang putih
3) 1 sudu kecil jintan manis
4) 1 sudu kecil jintan putih
5) 1 sudu kecil ketumbar
6) 1 inci halia
7) 1 cawan air

Bahan tumisan:
1) Minyak masak
2) 2 sudu besar minyak sapi
3) 2 sudu besar gula
4) 1/2 sudu besar garam (1/2 bererti setengah)
5) Bahan kisaran
6) 2 tin Kacang Phool (Hanya 1 tin kacang yang perlu dikisar)

Bahan tambahan:
1) Telur mata lembu
2) Hirisan lada hijau
3) Hirisan lada merah
4) Bawang merah dipotong dadu
5) Limau nipis dibelah dua
6) Roti

Cara memasak:
(a) Kesemua bahan kisaran dimasukkan dalam mesin pengisar. Dengan lafaz basmallah, kisarlah dengan senyuman.
(b) Minyak masak dipanaskan. Minyak sapi dimasukkan. Berhati-hati.
(c) Tumis bahan kisaran dalam minyak panas. Pada waktu ini, aroma tumisan akan menikam sukma.
(d) Apabila bahan tumisan mulai pekat, masukkan kedua-dua tin kacang.
(e) Rasai masakan terlebih dahulu sebelum garam dan gula dimasukkan.
(f) Hiasi masakan dengan hirisan lada hijau, hirisan lada merah dan bawang merah potong dadu. Hidangkan masakan bersama roti, telur mata lembu dan limau nipis yang diperahkan ke atas masakan.

Begitulah resipiku. Resipi yang telah diubai suai daripada resipi asal dengan menambahkan 1 lagi tin kacang. Salah satu tin kacang dikisar manakala satu tin kacang lagi tidak dikisar. Minyak sapi pula melazatkan rasa.

Alhamdulillah, percubaanku menjadi! Sama ada lazat ataupun tidak, aku tidak pasti. Emak telah memberi 8 markah untukku. Emak tentunya bermurah hati terhadap anaknya sendiri iaitu aku. InsyaAllah, jika ada umur yang panjang dan jika ada peluang yang terbentang, akan aku masak resipi ini sekali lagi.

Resipi Kacang Phool Perantau Kembali!

Thursday, June 28, 2012

Kolokasi

Kolokasi bererti asosiasi atau perkaitan tetap kata dengan kata lain dalam lingkungan yang sama. Misalnya, jika sampiran sesebuah rangkap pantun itu menyentuh tentang pertanian, kalau dapat dicarikan kata-kata yang berkaitan dengan pertanian juga seperti nama tanaman, benih, petani, peladang, sawah, ladang, bendang, dan yang seumpamanya. Contohnya:

(a)
Malam ini merendang jagung,
Malam esok merendang serai;
Malam ini kita berkampung,
Malam esok kita bercerai.

(b)
Asal kapas menjadi benang,
Asal benang menjadi kain;
Barang lepas jangan kenang,
Sudah menjadi hak orang lain.

(c)
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Dalam rangkap pantun pertama dikaitkan antara jagung dengan serai yang merupakan jenis-jenis tanaman yang sering ditanam oleh para petani Melayu. Jagung ditanam sebagai tanaman selingan dengan penanaman padi, sedangkan serai ditanam untuk perencah masakan dan perubatan tradisional. Demikian juga malam dan merendang yang diulang.

Dalam rangkap pantun kedua perkaitan perkataan-perkataan ialah kapas, benang dan kain. Kesemuanya berkaitan dan melengkapi kerana daripada kapas maka dijadikan benang, kemudian daripada benang dijadikan kain.

Pantun rangkap ketiga, perkaitan antara air tenang, laut, sampan, kolek dan tanjung dan juga perkaitan antara hati, mulut, budi, dan rasa.

(Teks dipetik daripada halaman 15 dan 16 dalam buku 'Pemilihan Kata dalam Pantun Melayu' yang ditulis oleh Amat Juhari Moain.)

Teks ini ditaip kerana hasrat untuk berlayar ke alam mimpi masih tidak kesampaian. Percubaan demi percubaan yang masih gagal. Lantas, kubaca dan kutaip semula teks ini untuk mengisi masa terluang ini memandangkan mataku masih segar-bugar.

Sunday, June 24, 2012

Alangkah pilu

Antara sebak dan sesak.

Kata-kata seolah-olah tidak dapat mendeskripsikan gelora dan gelombang perasaan ini.

Ya Allah...

Alangkah pilu apabila perasaan dipalu dengan kenyataan bahawa aku harus pulang ke sana dan pergi dari sini.

Meninggalkan segala yang terlalu berharga meskipun bukan serba sempurna tetapi aku bahagia.

Universiti Malaya.

Kuala Lumpur.

Malaysia.

Segala yang tersampul di dalamnya telah tersimpul dengan kemas.

Allahuakbar...

Empangan perasaan ini pecah sudah.

Maka berlimpahanlah air mata ini tidak sudah-sudah.

Kini, azan Asar berkumandang.....

Betapa aku seorang hamba yang kalah.

Kalah dalam menerima takdirMu.

Kalah dalam menghadapi perasaanku sendiri.

(Sedang berlinang air mata sebelum dan ketika pos ini ditaip.)

Monday, June 18, 2012

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan

'Untuk menentukan jenis kamus yang dihasilkan, Malkiel (1975: 3-24) mengukurnya dari segi jumlah entri seperti kamus besar, kamus sederhana dan kamus kecil.

Ada juga melihatnya dari sudut saiz kamus seperti kamus mini, kamus ringkas dan kamus saku (Asmah Haji Omar 1990:10).

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (KBBMU) susunan Zainal Abidin Safarwan boleh dianggap sebagai sebuah kamus besar jika dilihat dari segi jumlah entrinya (100 ribu entri).

Bagaimanapun, timbul perdebatan tentang metabahasa kamus tersebut jika dibandingkan dengan kamus-kamus besar lain di dunia seperti
Oxford English Dictionary dan
Webster's New International Dictionary of the English Language.

Metabahasa kamus ini tidak menerapkan konvensi leksikografi seperti
maklumat nahu (kelas kata), sebutan, label diasistematik (label variasi kawasan, label variasi sosial, label bidang ilmu) dan contoh ayat.

Konsep kata entri kamus ini mencakup ungkapan dan peribahasa Melayu.

Apa pun, ini menunjukkan bahawa sudah terdapat inisiatif awal ke arah penyusunan sebuah kamus besar bahasa Melayu, meskipun semacam wujud pengertian longgar tentang konsep kamus besar yang sebenarnya cuba diterapkan dalam KBBMU.'


Teks telah diperolehi daripada buku Perkamusan Melayu Teori dan Amali tulisan Dr Ibrahim Ahmad, halaman 21-22.

5:16 pagi: Aku sedang mengulangkaji pelajaran demi menempuh dan merempuh peperiksaan keempat dan terakhir iaitu modul Leksikografi Bahasa Melayu pada 19 Jun 2012.

Sedangkan pada siang hari, aku bermalas-malasan dengan alasan-alasan yang tidak rasional tetapi emosional semata-mata.

Cabaran pada semester ini ialah diriku sendiri.

Bermalas-malasan dengan alasan-alasan!

Sayu... hati ini makin sayu

Sayu... hati ini makin sayu
Rindu... terkenangkan desa permai
Wajah ayah bonda bermain di mata
Mengajakku pulang ke desa
Di hari bahagia di hari raya

Lama kutunggu
Bertemu di pagi mulia
Namun tidak kesampaian
Air mata jatuh berlinangan

Kuingin berulang manisnya bersama
Menyambut hari bahagia
Jarak memisahkan rindu pertemuan
Bilakah hasrat jadi nyata

Duhai ayah bonda
Ampunkan anakanda
Tak dapat beraya bersama
Jauh dari mata dekat dalam jiwa
Teguh kasihku tidak berubah



Saturday, June 16, 2012

Pasangan suami isteri yang 'sweet'

Rashidi Ishak dan Vanida Imran adalah pasangan suami isteri yang 'sweet'.

Semoga pasangan yang 'sweet' ini sentiasa dalam perlindungan Allah s.w.t.



Friday, June 15, 2012

Dalam Monolog, Ada Dialog.

Ketika emosiku sedang berdebat sangat hebat dengan akalku dalam jiwa seorang Nuraini.

Ketika seorang Nuraini berasa bahawa dia hanya bermonolog sedangkan dialog antara dia seorang hamba dengan Dia Penciptanya jelas telah dihampakan.

Dihampakan sekali lagi.

Dihampakan sekian kali.

Setelah menunaikan solat pada hujung waktu (membuktikan bahawa aku seorang hamba yang kurang taat sedangkan empat tahun dididik Ayahanda untuk mendirikan solat pada awal waktu tidak aku laksanakan), ayat-ayat Cinta Agung kujengah.

Surah Yunus.

Seperti yang pernah satu-satunya Adikku ceritakan kepadaku tentang kisah Nabi Yunus suatu masa dahulu agar jiwaku terpujuk dengan ujian Tuhan yang Maha Tahu ketika aku hampa.

Ayat Cinta Agung yang ke-44 dalam Surah Yunus melantunkan: "Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri."

Ya Allah, teguranMu terhadapku!

Insan yang ego ini.

Hamba yang ego ini.

Aku yang ego ini.

Kemudian jari-jemariku menjenguk Facebook.

Kulihat ada pautan lagu yang diposkan di dindingku daripada Adik Azhar.

Sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Adik Azhar sebelum ini.

Kulihat tajuk lagu.

'Aku Yang Berdosa'.

Ya Allah, teguranMu terhadapku!

Tentulah Engkau yang mengatur jadual dan tentulah Engkau yang mencatur hati Adik Azhar untuk mengepos lagu di dinding FBku tepat pada masanya semata-mata untuk menegurku ketika jiwaku sedang remuk dan berkecamuk bahkan aku terasa Engkau tidak berdialog denganku melainkan aku hanya bermonolog.

Akulah yang menzalimi diriku sendiri.

Akulah yang berdosa.

:(

Lantas.... apakah tindakanku selanjutnya setelah mendapat teguran daripadaMu?


Penyusunan Kamus

'Penyusunan kamus menjadi agenda penting dalam proses kodifikasi bahasa.'

Kodifikasi berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 802) adalah
kegiatan (usaha, proses) atau hasil
mengumpulkan serta menyusun
pelbagai peraturan (maklumat, norma dsb) tentang sesuatu
sehingga merupakan atau terdapat
suatu keseluruhan yang bersistem dan teratur
(biasanya yang dirakamkan dalam bentuk atau sesuatu terbitan).

'Dalam konteks perancangan bahasa, penyusunan kamus merupakan usaha kodifikasi bahasa yang menjadi bahagian penting dalam pembinaan, pengembangan, dan pembakuan bahasa.

Berdasarkan pendapat Haugen, kodifikasi atau pengekodan berada dalam kedudukan kedua setelah peringkat pemilihan dan kemudian diikuti oleh peringkat ketiga, pelaksanaan, dan keempat, peringkat peluasan.'

(Taipanku terhenti kerana Adik Unaizah datang ke bilikku. Setelah dia pulang, aku pun menyambung taipanku.)

'Usaha kodifikasi bertujuan menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dan seragam dalam aspek tatabahasa, ejaan, makna dan sebutan, supaya akan wujud satu bahasa dalam konteks penggunaan rasmi dan situasi formal.'


Teks dipetik daripada Bab 3: Perkamusan Melayu Dalam Proses Kodifikasi Bahasa dalam buku Perkamusan Melayu Teori dan Amali.







Monday, June 11, 2012

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Esok merupakan hari peperiksaan kedua bagiku.

Modul Pendidikan dan Pengajaran Seni.

Ulangkaji pelajaran sedang berlangsung di dalam bilik C403.

Berikut merupakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah kuhafal:

'Pendidikan di Malaysia
adalah suatu usaha berterusan
ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan
yang seimbang dan harmonis
daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri
serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.'


Berdasarkan kertas peperiksaan yang lalu, soalan ini dikemukan dalam Soalan Wajib dengan nilai 2 markah kerana soalan-soalan yang dikemukakan adalah soalan berstruktur.

Sedangkan usaha menghafalnya mengambil masa 2 hari.

:)

Namun begitu, Dr Hamid menyatakan bahawa kertas peperiksaan bagi modul ini pada kali ini mengandungi 4 soalan esei dan kami perlu memilih dan menjawab 2 soalan esei.

Bukan soalan berstruktur.....

:(



Ibu jelita

Ibu yang jelita pada pandangan mataku.

Semoga beliau dikurniakan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup.


Sunday, June 10, 2012

I PROTEST AND I DETEST!!!

'I protest' bermaksud 'Aku membantah'.

'I detest' bermakna 'Aku membenci'.

Aku membantah dan membenci sikap dan perilaku sesetengah insan yang melaksanakan poligami sekehendak hati dan semahu hawa nafsu sedangkan yang diperjuangkan adalah kepentingan diri sendiri sedangkan dia hanya ingin mengambil kesempatan di sebalik kehalalan poligami.

Tanpa rasa segan dan silu, sesetengan insan ini merujuk Rasulullah s.a.w sebagai contoh sedangkan pelaksaan Rasulullah s.a.w tidak pula dicontohi.

Poligami Rasulullah s.a.w adalah poligami yang berteraskan rasa cinta dan takut kepada yang Maha Pencipta.

Poligami Rasulullah s.a.w adalah poligami yang berlandaskan aqidah hingga poligami menjadi ibadah yang penuh dengan mujahadah.

Daripada mula sampai akhir, poligami bahkan monogami yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w. langsung tidak mengetepikan syariat yang Maha Pencipta bahkan sangat menitikberatkan syariat yang Maha Pencipta.

Apakah berpacaran sebelum berumahtangga itu mentaati atau menderhakai syariat yang Maha Pencipta?

Apakah melantunkan ungkapan rasa cinta bergelora 'I LOVE YOU' atau 'I SAYANGKAN YOU' melalui panggilan telefon atau pesanan sms itu mentaati atau menderhakai syariat yang Maha Pencipta?

Bercinta dengan wanita yang lain dalam ikatan yang langsung tidak sah di sisi syariat sedangkan isteri (tidak kiralah sama ada dia isteri yang baik, kurang baik atau tidak baik) yang sah dalam ikatan pernikahan dan perkahwinan telah dicurangi.

Curang kepada isteri (atau curang kepada suami) bererti menderhaka kepada yang Maha Pencipta.

Apakah tidak terfikir dan tidak terasa si wanita yang menjalinkan ikatan yang tidak sah di sisi syariat dengan suami wanita lain bahawa perkara ini sangat melukai perasaan insan lain?

Sampai hatikah membina kebahagiaan atas keruntuhan perasaan insan lain.

Tergamakkah membina mahligai atas air mata insan lain.

Sesetengah perempuan tidak berasa bersalah pun apabila berhubungan dengan suami orang kerana menganggap bahawa dia mempunyai hak untuk disayangi dan dilindungi oleh seorang lelaki sekalipun dia suami orang.

Sesetengah perempuan tidak berasa bersalah pun apabila berhubungan mesra dengan suami orang kerana menganggap bahawa seorang lelaki telah diberikan hak untuk bernikah lebih daripada satu bahkan dengan rasa bangga, menyatakan jumlah lelaki pada zaman ini semakin berkurangan dengan mengemukakan statistik lantas melayakkan lelaki itu untuk bernikah seorang lagi.

Sikap sesetengah perempuan sebeginilah yang aku sifatkan sebagai perempuan yang tidak beradab.

Tidak hairanlah andai sikap perempuan sebegini menyebabkan kebencian meluap-luap di dada si isteri.

Bayangkan jika dia seorang isteri yang baik, tentu hatinya terhiris dan terguris dengan poligami kerana suami jatuh cinta dengan wanita lain.

Bayangkan jika dia seorang isteri yang kurang baik, tentu hatinya yang bermazmumah semakin bermazmumah kerana suami telah jatuh cinta dengan wanita lain.

Bayangkan jika dia seorang isteri yang tidak baik, tentu hatinya yang berkarat dek mazmumah akan bertindak jahat sejahat-jahatnya (seperti membalas dendam bahkan benci kepada Allah dan Rasulullah) kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa suami telah jatuh cinta dengan wanita lain.

Perkara seperti inilah yang menjadi punca Islam disalah faham.

Perkara seperti inilah yang menjadi punca poligami Rasulullah s.a.w dibenci oleh sekian ramai wanita dan dipandang sinis oleh sekian ramai insan yang tidak mengerti.

Poligami yang dihalalkan Maha Pencipta tidak sejijik pelaksanaan poligami sebahagian besar umat yang menurut perasaan dan hawa nafsu.

Poligami yang Rasulullah s.a.w laksanakan tidak sejijik dek asmara cinta yang berpunca daripada jatuh cinta sekali lagi dengan wanita lain melalui hubungan terlarang seperti berdua-duaan, bersms-smsan, bermesra-mesraan, bercinta-cintaan dan ber-ber yang lain.

Sebagaimana Islam menggariskan syariat agar seorang teruna dan seorang dara tidak menjalinkan hubungan terlarang sebelum pernikahan, begitulah syariat yang ditetapkan dalam mendirikan institusi poligami.

Poligami itu ibadah tetapi bermula dengan cara yang Rasulullah s.a.w laksanakan dan bukan dengan cara umat yang menurut perasaan dan hawa nafsu iaitu dengan bercinta-cinta terlebih dahulu.

Poligami yang Rasulullah s.a.w laksanakan beradab dan terhormat bahkan memuliakan wanita, baik isteri pertama mahupun isteri kedua.

Tolonglah.... Usah rosakkan rumahtangga orang lain, wahai wanita.

Tolonglah.... Usah goda suami orang lain, wahai wanita.

Tolonglah.... Pilih mujadahah iaitu memendam rasa cinta itu andai telah terjatuh hati dengan suami orang lain kerana mujahadah itu ibadah, wahai wanita.

Tolonglah.... Laksanakan poligami kerana Allah dan Rasulullah dan bukan kerana menurut perasaan dan hawa nafsu demi kepentingan diri, wahai wanita.

Kau tak akan rasa sakitnya kerana bukan cinta suami kau yang beralih arah, wahai wanita.

Kau tak akan rasa pedihnya kerana bukan perhatian suami kau yang berbelah bahagi, wahai wanita.

Jadilah wanita yang mulia, atau paling tidak, wanita yang baik.

Wanita yang mulia, bermujahadah.

Wanita yang baik juga, bermujahadah.

Selami dan fahamilah hati seorang wanita bernama isteri sebelum kau bina mahligai dari air mata yang jatuh berderai di wajah suci itu.

Muliakanlah wanita yang bernama isteri itu.

Semoga kau juga akan dimuliakan sebagai wanita yang kelak dikalungkan dengan gelaran isteri.

Bermujahadahlah demi Cinta Agung yang mencipta setiap daripada kita.

Cinta Agung Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Mengasihani, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengerti dan Maha Adil.

Andai kata kau menjadi penyebab kepada insan lain menumpahkan air matanya, tunggulah dan nantikanlah saat dan waktu air mata kau pula tertumpah sebanyak itu.






Saturday, June 9, 2012

Permulaan Yang Telah Terlaksana

Permulaan bagi sebuah pengakhiran.

Pagi ini merupakan hari peperiksaan pertama bagiku.

Kertas bagi modul Islam dan Kesenian Melayu.

Debaran telah berganti kelegaan dan ketenangan.

Walaupun sebenarnya jiwa masih berkocak dek perkara yang baru aku ketahui semalam.

Alangkah baiknya aku tidak tahu agar jiwaku tidak berkocak meskipun semalam jiwaku bergelora bahkan bergelombang kerana perkara yang berkaitan ketidakjujuran dan ketidaktelusan itu akan mengheret dan menyeret aku ke dalam perangkap yang gelap sedangkan aku tidak bersalah.

Aku cuba untuk mengintrospeksi diri dan menyabarkan hati.

Apakah ini ujian atau teguran daripada Tuhan?

Walau bagaimana pun, pagi ini Tuhan yang Maha Baik telah mempermudahkan urusanku.

HambaNya yang kurang taat ini masih beroleh nikmat dengan memperoleh soalan peperiksaan yang tidak sukar, sudah dipelajari dan mampu dijawab.

Bahagian A (Soalan Wajib)

1. Baju kurung adalah antara pakaian utama masyarakat Melayu dan melambangkan identiti. Bincangkan keistimewaan baju ini dari perspektif Islam.

Bahagian B (Soalan Pilihan)

2. Bincangkan konsep penciptaan ukiran, peranan motif, fungsi dan reka bentuk ukiran Melayu tradisi menurut perspektif Islam.

3. Filem dan drama adalah antara media hiburan yang diminati ramai. Bagaimanakah ia boleh digunakan untuk menyampaikan mesej, sindiran dan pendidikan? Berdasarkan filem atau drama yang dihasilkan di Malaysia, bincangkan kenyataan tersebut.

4. Secara umumnya masjid dimaksudkan sebagai 'tempat sujud' (sajadah), atau 'tempat mengerjakan sembahyang'. Adakah masjid kini hanya dibina atas dasar falsafah Islam semata-mata atau juga mengambil kira dari aspek praktikal dan aktiviti-aktiviti di dalamnya? Bincangkan.

5. Persembahan nasyid dan marhaban adalah contoh seni nyanyian dan muzik yang mempunyai ciri-ciri atau unsur keIslaman. Bincangkan.


Berdasarkan nota, aku mempunyai fakta yang lebih banyak untuk soalan 4 tetapi soalan itu aku anggap tidak mudah untuk dijawab. Lantas, aku pilih soalan 3 bukan kerana aku anggap soalan itu mudah untuk dijawab dan bukan juga kerana aku mempunyai nota dan fakta yang cukup.... tetapi aku fikir jawapan yang ditulis adalah secara langsung dan dapat kukutip daripada drama yang pernah kutonton. Drama Diari Ramadhan Rafique. Drama yang Abang syorkan aku tonton beberapa tahun lalu sebelum aku pernah terfikir pun aku akan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Drama Nur Kasih. Drama yang menjadi bualan ramai di FB semasa pengajianku di Universiti Malaya bahkan drama ini telah menjadi subjek kajianku untuk dua buah modul. Drama Ustaz Amirul. Drama yang juga aku tontoni semasa pengajianku di Universiti Malaya.

Pasrah.

Berserah.

Sudahlah.

Terbaik?

Aku rasa tidak.

Termampu?

Barangkali itulah.

Alhamdulillah, Allah yang Maha Mengasihani telah mempermudahkan urusanku dengan mengizinkan soalan-soalan yang tidak sukar untuk dijawab bahkan subtopik itu sudah pun aku pelajari dan ulangkaji berdasarkan nota dan fakta yang kumiliki.

:)

Friday, June 8, 2012

Seni Busana (2)

Apabila emosiku sedang bergelora dengan perasaan bimbang.
Apabila emosiku sedang bergelombang dengan perasaan marah.
Apabila mindaku sedang letih menyabarkan diri sendiri.
Apabila mindaku sedang lelah merasionalkan diri untuk menerima realiti.
Bahawa tugas dan tanggungjawab itu dilaksanakan dengan ketidakjujuran dan ketidaktelusan, bahkan tidak dengan sempurna dan tidak dengan sungguh-sungguh sedangkan aku akan turut terheret dan terseret sama dalam perangkap yang gelap ini....

Aku masih sedang berjuang melawan ammarah.
Aku masih sedang berjuang menahan marah.

Kalau sebelum ini, telah kubutakan mata kepada kebenaran hingga aku tidak dapat membezakan antara kaca dan permata...
Kini aku perlu menutup sebelah mata sedangkan kaca itu telah menyobek dan merobek kepercayaan yang telah kupertaruhkan selama ini.
Ya, selama dua tahun ini!
Dua tahun dalam kebutaan.
Dua tahun dalam kesamaran.
Kini sudah terang!
Kini sudah jelas!
Terimalah hakikat ini meskipun perkara yang dia lakukan jelas memperlihatkan bahawa dirinya tidak amanah!
Hakikatnya, hakikat ini daripadaNya untuk mencelikkan mataku yang sekian lama dibutakan daripada kebenaran.
Bersyukurlah kerana telah diperlihatkan dan mampu melihat meskipun agak terlewat.

Dalam usahaku melawan ammarah dan menahan amarah dek emosi yang dikocakkan berpunca daripada dia, aku telah menaip semula nota penting untuk modul Islam dan Kesenian Melayu.


Pantang yang mengacu kepada ajaran Islam antara lain pantang membuka aurat, pantang terlalu ketat, pantang terlalu nipis jarang.

(i) Pantang membuka aurat

Baju kurung baju Melayu
Dipakai orang sejak dahulu
Untuk menjaga aib dan malu
Adat dan syarak di sana menyatu

Untaian syair di atas menegaskan bahawa baju kurung adalah pakaian Melayu. Barangsiapa memakainya, wajib menutupi aurat sebagai perwujudan bersebatinya adat istiadat Melayu dengan agama Islam. Pelanggaran terhadap pantang ini merupakan pelanggaran besar yang mendatangkan aib dan malu serta menjatuhkan maruah dan nama baik pemakainya.

(ii) Pantang terlalu nipis

Pasang kubu berlapis-lapis,
Kubu berlapis kuat diserang;
Pantang Melayu berbaju tipis,
Berbaju tipis adatnya hilang.

Untaian pantun di atas semakin memperjelaskan larangan berpakaian yang terlalu tipis atau terlalu jarang yang merosak iman serta mendatangkan kehinaan bagi sesiapa yang memakainya.

(iii) Pantang terlalu ketat

Pakaian Melayu dipantangkan terlalu ketat sehingga menampakkan lekuk liku tubuhnya.

Jangan suka berhujan lebat,
Berhujan lebat sakit kepala;
Jangan suka berbaju ketat,
Baju ketat menjemput bala.

Thursday, June 7, 2012

Seni Busana (1)

Aku sedang mengulangkaji tentang Seni Busana.

Itulah salah satu sub topik bagi modul Islam dan Kesenian Melayu.

Antara ungkapan adat yang indah dan perlu diketahui untuk sub topik ini ialah:

(1)
Adat memakai pada yang sesuai
Adat duduk pada yang elok
Adat berdiri tahukan diri

Ungkapan ini mengandungi makna yang dalam, intinya memberi petunjuk bahawa setiap orang dituntut untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, berperilaku menurut alur dan patutnya.

Dalam hal berpakaian hendaklah mengacu kepada asas 'sesuai' iaitu

(2)
Sesuai pakaiannya
Sesuai memakainya
Sesuai cara memakainya
Sesuai tempat memakainya
Sesuai pula menurut ketentuan adat

Selain itu diingatkan pula agar orang yang memakai pakaian Melayu itu haruslah menampakkan sikap dan perilaku terpuji, menunjukkan keperibadian yang baik, sehingga tidak merosak atau merendahkan martabat pakaian Melayu yang dipakainya.

Dalam ungkapan yang lain ditegaskan lagi

(3)
Apa tanda adat dijunjung
Tahu memakai baju kurung
Pertama, dikurung oleh syarak
Kedua, dikongkong oleh adat

Orang tua-tua menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dikurung oleh syarak ialah pakaian Melayu itu wajib mengikut ketentuan syariat Islam. Antara lain dipantangkan terlalu ketat. Yang dimaksudkan dengan dikongkong oleh adat ialah tahu memilih pakaian yang sesuai, tahu alat kelengkapan pakaian, tahu cara memakainya, tahu tempat memakainya dan tahu pula makna dan tujuan memakainya.

(4)
Apabila memakai tidak senonoh,
Nama rosak maruah pun jatuh.

Apabila memakai tidak sesuai,
Aib terdedah malu terburai.

Apabila memakai tidak semenggah,
Aib tersingkap malu terdedah.

Apabila memakai membuka aurat,
Tanda hidupnya tidak beradat.

Apabila memakai tak tahu diri,
Ke hulu ke hilir orang mengeji.

Merujuk kepada berbagai-bagai ungkapan di atas, orang Melayu selalu berusaha memilih pakaian yang sesuai dengan dirinya dan kedudukannya, berusaha memakai pakaian dengan baik dan benar, dan berusaha menjaga agar tidak melanggar pantang larang dalam berpakaian, dan berusaha pula untuk menunjukkan perilaku terpuji dalam kehidupan sehari-harinya.


Teks diperolehi daripada artikel bertajuk Etika Berpakaian Melayu tulisan Tenas Effendy yang terkandung dalam buku berjudul Busana Melaka.

Wednesday, June 6, 2012

kecil lagi kerdil (3)


'Bagaimanakah nantinya tika berhadapan dengan mu
Sudikah Kau menerima hambaMu yang hina ini
Ya Allah Kau Maha Pengampun'

Tuesday, June 5, 2012

Antara Cinta Dan Cemburu: Poligami

2 tahun dari sekarang, andai kata aku melanjutkan pengajianku untuk mencapai ijazah sarjana tinggi, poligami akan menjadi subjek kajianku.

POLIGAMI.

Mengapa poligami?

Kenapa poligami?

Tidak terniat di hati ini untuk menganjurkan poligami apatah lagi ramai lelaki tidak mempunyai kelayakan untuk itu.

Tidak terniat di hati ini juga untuk tidak menganjurkannya apatah lagi masih ada lagi lelaki di muka bumi ini yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan untuk mengendalikan institusi yang cukup istimewa ini.

NEUTRAL.

Tidak menganjurkan.... bersebab.

Menganjurkan juga... bersebab.

Salah satu sebab aku TIDAK MENGANJURKAN poligami ialah keruntuhan monogami yang sedia ada belum lagi dibangunkan semula atas asas yang kukuh lagi teguh.

Mengapa berpoligami andai monogami yang sedia ada pun sudah berantakan?

Salah satu sebab aku MENGANJURKAN poligami adalah membuktikan keindahan Islam dalam menghalalkan poligami.

Keindahan Islam yang dimanifestasikan melalui kehalusan jiwa seorang lelaki bernama suami yang bertanggungjawab dan amanah dalam mendidik, memimpin dan mengendalikan seorang perempuan bernama isteri pertama serta mendidik, memimpin dan mengendalikan seorang perempuan lain bernama isteri kedua dalam sebuah institusi yang cukup istimewa hingga anak-anak yang dilahirkan menzahirkan akhlak si ayah, si ibu kandung dan si ibu tiri.

Poligami sering disinonimkan dengan bala dan bencana rumahtangga.

Sedangkan masih ada lagi poligami yang bukan sekadar dihiasi dengan mawar-mawar bahkan menjadi penawar.

Antara cinta dan cemburu, tidak mudah untuk mengimbangi dan mengikhlaskannya.

Antara cinta dan cemburu, tidak mudah menghadapi dan meredhainya.

Antara cinta dan cemburu, tidak mudah menempuh dan merempuhnya.

MUJAHADAH.

Mujahadah tidak mudah.

Mujahadah bukan mudah.

Mudah mengeja perkataan MUJAHADAH.

Semudah menyebut perkataan MUJAHADAH.

Mujahadah pedih dan perih.

Mengimbas kenangan lalu ketika usiaku masih  awal 20an...

Aku pernah dirisik untuk berpoligami.

Dua kali aku dirisik begitu.

Kali pertama dengan seseorang yang jelas kutahu siapa bahkan isterinya sendiri iaitu Ibu S yang mencadangkan agar aku menjadi madunya.

Kali kedua dengan seseorang yang tidak jelas siapa tetapi kutahu tentang perkara ini melalui orang tengah iaitu Ibu Z.

Ibu K yang mengenali peribadiku yang suka banyak bertanya untuk mengetahui dan memahami persoalan-persoalan yang berkaitan dengan hidup, pernah menyatakan bahawa aku perlu mendapatkan calon suami yang dapat memberi jawapan kepada pertanyaan-pertanyaanku.

Antara dua nama yang Ibu K pernah sebut adalah nama dua orang lelaki yang merupakan suami orang kerana kedua-dua mereka mempunyai kematangan dan kesabaran.

Hmmm.

Secara peribadi, aku tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi isteri kedua, isteri ketiga atau isteri keempat kepada seorang lelaki yang bernama suami.

Secara peribadi juga, aku mempunyai cita-cita untuk menjadi isteri pertama kepada seorang lelaki yang bernama suami tetapi.... tetapi.... tetapi.... tentulah poligami yang kuidamkan, poligami yang kuimpikan, poligami yang kudambakan adalah poligami yang bersyarat, poligami yang beradab, poligami yang terancang, poligami yang penuh dengan kasih sayang, poligami yang indah dan poligami yang mengagungkan Cinta Agung.




Pada waktu ini, aku mempunyai kesediaan hati untuk menjadi isteri pertama, bererti bersedia untuk berpoligami tetapi siapa tahu, esok lusa apabila cintaku kepada si dia yang bernama suami kian memuncak tinggi, aku tidak pula merelakan perempuan lain untuk menghiasi taman hatinya.

Antara cinta dan cemburu.

Monday, June 4, 2012

Antara tugasan dan percutian, aku memilih...

Akhirnya, selesai jua tugasan terakhir iaitu tugasan berkumpulan untuk modul Leksikografi.

Bayangkan, minggu penghantaran adalah minggu terakhir pengajian iaitu minggu ke-14.

Minggu lalu iaitu minggu ulangkaji masih belum menjadi penyudah kepada tugasan ini kerana aku mendapat pelawaan ke Pulau Pinang secara percuma.

Sudah pasti aku tidak mahu ketinggalan dan melepaskan peluang yang terbentang sedangkan sebelum ini, aku telah menolak beberapa program terancang dan pelawaan kawan.

Antaranya adalah dua program terancang ke Pulau Redang dan Bukit Fraser yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar antarabangsa.

Selain itu, program inap desa anjuran Permanis di Negeri Sembilan dan pelawaan Nabila (Bella) ke Negeri Sembilan.

Keempat-empat rancangan tidak dapat kuikuti demi mengutamakan tugasan.

Lantas, apabila Abdul Rahman memaklumkan di grup Keluarga Bahagia pada Rabu (30 Mei 2012), 2:25 pagi tentang program ke Pulau Pinang pada Khamis (31 Mei 2012), aku teruja untuk mengikutinya meskipun tugasan terakhir iaitu tugasan berkumpulan belum dilengkapkan.

Oleh sebab Sarah Najwa tidak dapat ke sana dan Nazurah seperti tidak begitu berkeinginan ke sana, aku tidak meneruskan hasratku ke sana apatah lagi memikirkan tugasan yang belum diselesaikan dan perlu diserahkan pada Jumaat (1 Jun 2012).

Namun, pada jam Rabu (30 Mei 201), 3 petang ketika aku sedang dibuai mimpi, Munirah menghubungiku dan mempelawaku ke sana.

Ke Pulau Pinang.

Secara percuma.

Hmm, aku fikir aku tidak akan menolak pelawaan itu kerana Munirah sudi menjadi peneman bahkan telah terdetik di hati ini sebelum makluman yang dipaparkan Abdul Rahman di grup Keluarga Bahagia bahawa aku ingin ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sebelum menamatkan pengajian memandangkan hanya tiga buah negeri ini sahaja yang belum aku kunjungi.

Program percutian yang tidak dirancang.

Tugasan Leksikografi yang telah terabai.

Berikut merupakan dua gambar terpilih ketika berada di Pulau Pinang bersama anggota Keluarga Bahagia.


Berdiri: Redzuan, Mazwan, Abdul Rahman, Shakila, Munirah, Noraini, Wahidah, Siti Hajar.
Tidak berdiri: Azhar


Lelaki: Mazwan
Perempuan: Munirah, Nazirah, Noraini, Siti Hajar, Wahidah, Shakila.


Alhamdulillah, Isnin (4 Jun 2012), 3:40 pagi.

Selesai jua akhirnya tugasan terakhir iaitu tugasan berkumpulan untuk modul Leksikografi.

Meskipun lewat.

Bukan lewat seminggu.

Lebih daripada seminggu.

Lewat 10 hari?!

Lewat sampai ke minggu ulangkaji!

Rekod sejarah telah kupecahkan.

Rekod yang tidak membanggakan langsung.

Antara tugasan dan percutian, aku memilih...

PERCUTIAN.

Faham-faham sahajalah memandangkan empat rancangan telah kutolak sebelum ini demi tugasan.

Sunday, June 3, 2012

Mampukah aku?


Mampukah aku menghindari Pepsi?

Sedangkan Pepsi merupakan minuman kesukaanku.

Demi kesihatan, aku akan melatih diri menghindari minuman ini sekurang-kurangnya untuk tujuh hari.

Percubaan pertamaku untuk melatih diri harus dimulai dengan rasa yakin.

Tujuh hari sahaja.

Mampukah aku?

kecil lagi kerdil (2)



'Semakin cuba kudekati
Semakin kuat pula Kau mendugai aku
Oh... Tuhan Yang Maha Sempurna
Kerdilnya diriku di hadapanMu'