'Untuk menentukan jenis kamus yang dihasilkan, Malkiel (1975: 3-24) mengukurnya dari segi jumlah entri seperti kamus besar, kamus sederhana dan kamus kecil.
Ada juga melihatnya dari sudut saiz kamus seperti kamus mini, kamus ringkas dan kamus saku (Asmah Haji Omar 1990:10).
Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (KBBMU) susunan Zainal Abidin Safarwan boleh dianggap sebagai sebuah kamus besar jika dilihat dari segi jumlah entrinya (100 ribu entri).
Bagaimanapun, timbul perdebatan tentang metabahasa kamus tersebut jika dibandingkan dengan kamus-kamus besar lain di dunia seperti
Oxford English Dictionary dan
Webster's New International Dictionary of the English Language.
Metabahasa kamus ini tidak menerapkan konvensi leksikografi seperti
maklumat nahu (kelas kata), sebutan, label diasistematik (label variasi kawasan, label variasi sosial, label bidang ilmu) dan contoh ayat.
Konsep kata entri kamus ini mencakup ungkapan dan peribahasa Melayu.
Apa pun, ini menunjukkan bahawa sudah terdapat inisiatif awal ke arah penyusunan sebuah kamus besar bahasa Melayu, meskipun semacam wujud pengertian longgar tentang konsep kamus besar yang sebenarnya cuba diterapkan dalam KBBMU.'
Teks telah diperolehi daripada buku Perkamusan Melayu Teori dan Amali tulisan Dr Ibrahim Ahmad, halaman 21-22.
5:16 pagi: Aku sedang mengulangkaji pelajaran demi menempuh dan merempuh peperiksaan keempat dan terakhir iaitu modul Leksikografi Bahasa Melayu pada 19 Jun 2012.
Sedangkan pada siang hari, aku bermalas-malasan dengan alasan-alasan yang tidak rasional tetapi emosional semata-mata.
Cabaran pada semester ini ialah diriku sendiri.
Bermalas-malasan dengan alasan-alasan!
No comments:
Post a Comment