Apabila emosiku sedang bergelora dengan perasaan bimbang.
Apabila emosiku sedang bergelombang dengan perasaan marah.
Apabila mindaku sedang letih menyabarkan diri sendiri.
Apabila mindaku sedang lelah merasionalkan diri untuk menerima realiti.
Bahawa tugas dan tanggungjawab itu dilaksanakan dengan ketidakjujuran dan ketidaktelusan, bahkan tidak dengan sempurna dan tidak dengan sungguh-sungguh sedangkan aku akan turut terheret dan terseret sama dalam perangkap yang gelap ini....
Aku masih sedang berjuang melawan ammarah.
Aku masih sedang berjuang menahan marah.
Kalau sebelum ini, telah kubutakan mata kepada kebenaran hingga aku tidak dapat membezakan antara kaca dan permata...
Kini aku perlu menutup sebelah mata sedangkan kaca itu telah menyobek dan merobek kepercayaan yang telah kupertaruhkan selama ini.
Ya, selama dua tahun ini!
Dua tahun dalam kebutaan.
Dua tahun dalam kesamaran.
Kini sudah terang!
Kini sudah jelas!
Terimalah hakikat ini meskipun perkara yang dia lakukan jelas memperlihatkan bahawa dirinya tidak amanah!
Hakikatnya, hakikat ini daripadaNya untuk mencelikkan mataku yang sekian lama dibutakan daripada kebenaran.
Bersyukurlah kerana telah diperlihatkan dan mampu melihat meskipun agak terlewat.
Dalam usahaku melawan ammarah dan menahan amarah dek emosi yang dikocakkan berpunca daripada dia, aku telah menaip semula nota penting untuk modul Islam dan Kesenian Melayu.
Pantang yang mengacu kepada ajaran Islam antara lain pantang membuka aurat, pantang terlalu ketat, pantang terlalu nipis jarang.
(i) Pantang membuka aurat
Baju kurung baju Melayu
Dipakai orang sejak dahulu
Untuk menjaga aib dan malu
Adat dan syarak di sana menyatu
Untaian syair di atas menegaskan bahawa baju kurung adalah pakaian Melayu. Barangsiapa memakainya, wajib menutupi aurat sebagai perwujudan bersebatinya adat istiadat Melayu dengan agama Islam. Pelanggaran terhadap pantang ini merupakan pelanggaran besar yang mendatangkan aib dan malu serta menjatuhkan maruah dan nama baik pemakainya.
(ii) Pantang terlalu nipis
Pasang kubu berlapis-lapis,
Kubu berlapis kuat diserang;
Pantang Melayu berbaju tipis,
Berbaju tipis adatnya hilang.
Untaian pantun di atas semakin memperjelaskan larangan berpakaian yang terlalu tipis atau terlalu jarang yang merosak iman serta mendatangkan kehinaan bagi sesiapa yang memakainya.
(iii) Pantang terlalu ketat
Pakaian Melayu dipantangkan terlalu ketat sehingga menampakkan lekuk liku tubuhnya.
Jangan suka berhujan lebat,
Berhujan lebat sakit kepala;
Jangan suka berbaju ketat,
Baju ketat menjemput bala.
No comments:
Post a Comment