Sunday, June 10, 2012

I PROTEST AND I DETEST!!!

'I protest' bermaksud 'Aku membantah'.

'I detest' bermakna 'Aku membenci'.

Aku membantah dan membenci sikap dan perilaku sesetengah insan yang melaksanakan poligami sekehendak hati dan semahu hawa nafsu sedangkan yang diperjuangkan adalah kepentingan diri sendiri sedangkan dia hanya ingin mengambil kesempatan di sebalik kehalalan poligami.

Tanpa rasa segan dan silu, sesetengan insan ini merujuk Rasulullah s.a.w sebagai contoh sedangkan pelaksaan Rasulullah s.a.w tidak pula dicontohi.

Poligami Rasulullah s.a.w adalah poligami yang berteraskan rasa cinta dan takut kepada yang Maha Pencipta.

Poligami Rasulullah s.a.w adalah poligami yang berlandaskan aqidah hingga poligami menjadi ibadah yang penuh dengan mujahadah.

Daripada mula sampai akhir, poligami bahkan monogami yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w. langsung tidak mengetepikan syariat yang Maha Pencipta bahkan sangat menitikberatkan syariat yang Maha Pencipta.

Apakah berpacaran sebelum berumahtangga itu mentaati atau menderhakai syariat yang Maha Pencipta?

Apakah melantunkan ungkapan rasa cinta bergelora 'I LOVE YOU' atau 'I SAYANGKAN YOU' melalui panggilan telefon atau pesanan sms itu mentaati atau menderhakai syariat yang Maha Pencipta?

Bercinta dengan wanita yang lain dalam ikatan yang langsung tidak sah di sisi syariat sedangkan isteri (tidak kiralah sama ada dia isteri yang baik, kurang baik atau tidak baik) yang sah dalam ikatan pernikahan dan perkahwinan telah dicurangi.

Curang kepada isteri (atau curang kepada suami) bererti menderhaka kepada yang Maha Pencipta.

Apakah tidak terfikir dan tidak terasa si wanita yang menjalinkan ikatan yang tidak sah di sisi syariat dengan suami wanita lain bahawa perkara ini sangat melukai perasaan insan lain?

Sampai hatikah membina kebahagiaan atas keruntuhan perasaan insan lain.

Tergamakkah membina mahligai atas air mata insan lain.

Sesetengah perempuan tidak berasa bersalah pun apabila berhubungan dengan suami orang kerana menganggap bahawa dia mempunyai hak untuk disayangi dan dilindungi oleh seorang lelaki sekalipun dia suami orang.

Sesetengah perempuan tidak berasa bersalah pun apabila berhubungan mesra dengan suami orang kerana menganggap bahawa seorang lelaki telah diberikan hak untuk bernikah lebih daripada satu bahkan dengan rasa bangga, menyatakan jumlah lelaki pada zaman ini semakin berkurangan dengan mengemukakan statistik lantas melayakkan lelaki itu untuk bernikah seorang lagi.

Sikap sesetengah perempuan sebeginilah yang aku sifatkan sebagai perempuan yang tidak beradab.

Tidak hairanlah andai sikap perempuan sebegini menyebabkan kebencian meluap-luap di dada si isteri.

Bayangkan jika dia seorang isteri yang baik, tentu hatinya terhiris dan terguris dengan poligami kerana suami jatuh cinta dengan wanita lain.

Bayangkan jika dia seorang isteri yang kurang baik, tentu hatinya yang bermazmumah semakin bermazmumah kerana suami telah jatuh cinta dengan wanita lain.

Bayangkan jika dia seorang isteri yang tidak baik, tentu hatinya yang berkarat dek mazmumah akan bertindak jahat sejahat-jahatnya (seperti membalas dendam bahkan benci kepada Allah dan Rasulullah) kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa suami telah jatuh cinta dengan wanita lain.

Perkara seperti inilah yang menjadi punca Islam disalah faham.

Perkara seperti inilah yang menjadi punca poligami Rasulullah s.a.w dibenci oleh sekian ramai wanita dan dipandang sinis oleh sekian ramai insan yang tidak mengerti.

Poligami yang dihalalkan Maha Pencipta tidak sejijik pelaksanaan poligami sebahagian besar umat yang menurut perasaan dan hawa nafsu.

Poligami yang Rasulullah s.a.w laksanakan tidak sejijik dek asmara cinta yang berpunca daripada jatuh cinta sekali lagi dengan wanita lain melalui hubungan terlarang seperti berdua-duaan, bersms-smsan, bermesra-mesraan, bercinta-cintaan dan ber-ber yang lain.

Sebagaimana Islam menggariskan syariat agar seorang teruna dan seorang dara tidak menjalinkan hubungan terlarang sebelum pernikahan, begitulah syariat yang ditetapkan dalam mendirikan institusi poligami.

Poligami itu ibadah tetapi bermula dengan cara yang Rasulullah s.a.w laksanakan dan bukan dengan cara umat yang menurut perasaan dan hawa nafsu iaitu dengan bercinta-cinta terlebih dahulu.

Poligami yang Rasulullah s.a.w laksanakan beradab dan terhormat bahkan memuliakan wanita, baik isteri pertama mahupun isteri kedua.

Tolonglah.... Usah rosakkan rumahtangga orang lain, wahai wanita.

Tolonglah.... Usah goda suami orang lain, wahai wanita.

Tolonglah.... Pilih mujadahah iaitu memendam rasa cinta itu andai telah terjatuh hati dengan suami orang lain kerana mujahadah itu ibadah, wahai wanita.

Tolonglah.... Laksanakan poligami kerana Allah dan Rasulullah dan bukan kerana menurut perasaan dan hawa nafsu demi kepentingan diri, wahai wanita.

Kau tak akan rasa sakitnya kerana bukan cinta suami kau yang beralih arah, wahai wanita.

Kau tak akan rasa pedihnya kerana bukan perhatian suami kau yang berbelah bahagi, wahai wanita.

Jadilah wanita yang mulia, atau paling tidak, wanita yang baik.

Wanita yang mulia, bermujahadah.

Wanita yang baik juga, bermujahadah.

Selami dan fahamilah hati seorang wanita bernama isteri sebelum kau bina mahligai dari air mata yang jatuh berderai di wajah suci itu.

Muliakanlah wanita yang bernama isteri itu.

Semoga kau juga akan dimuliakan sebagai wanita yang kelak dikalungkan dengan gelaran isteri.

Bermujahadahlah demi Cinta Agung yang mencipta setiap daripada kita.

Cinta Agung Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Mengasihani, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengerti dan Maha Adil.

Andai kata kau menjadi penyebab kepada insan lain menumpahkan air matanya, tunggulah dan nantikanlah saat dan waktu air mata kau pula tertumpah sebanyak itu.






No comments:

Post a Comment