Monday, June 4, 2012

Antara tugasan dan percutian, aku memilih...

Akhirnya, selesai jua tugasan terakhir iaitu tugasan berkumpulan untuk modul Leksikografi.

Bayangkan, minggu penghantaran adalah minggu terakhir pengajian iaitu minggu ke-14.

Minggu lalu iaitu minggu ulangkaji masih belum menjadi penyudah kepada tugasan ini kerana aku mendapat pelawaan ke Pulau Pinang secara percuma.

Sudah pasti aku tidak mahu ketinggalan dan melepaskan peluang yang terbentang sedangkan sebelum ini, aku telah menolak beberapa program terancang dan pelawaan kawan.

Antaranya adalah dua program terancang ke Pulau Redang dan Bukit Fraser yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar antarabangsa.

Selain itu, program inap desa anjuran Permanis di Negeri Sembilan dan pelawaan Nabila (Bella) ke Negeri Sembilan.

Keempat-empat rancangan tidak dapat kuikuti demi mengutamakan tugasan.

Lantas, apabila Abdul Rahman memaklumkan di grup Keluarga Bahagia pada Rabu (30 Mei 2012), 2:25 pagi tentang program ke Pulau Pinang pada Khamis (31 Mei 2012), aku teruja untuk mengikutinya meskipun tugasan terakhir iaitu tugasan berkumpulan belum dilengkapkan.

Oleh sebab Sarah Najwa tidak dapat ke sana dan Nazurah seperti tidak begitu berkeinginan ke sana, aku tidak meneruskan hasratku ke sana apatah lagi memikirkan tugasan yang belum diselesaikan dan perlu diserahkan pada Jumaat (1 Jun 2012).

Namun, pada jam Rabu (30 Mei 201), 3 petang ketika aku sedang dibuai mimpi, Munirah menghubungiku dan mempelawaku ke sana.

Ke Pulau Pinang.

Secara percuma.

Hmm, aku fikir aku tidak akan menolak pelawaan itu kerana Munirah sudi menjadi peneman bahkan telah terdetik di hati ini sebelum makluman yang dipaparkan Abdul Rahman di grup Keluarga Bahagia bahawa aku ingin ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sebelum menamatkan pengajian memandangkan hanya tiga buah negeri ini sahaja yang belum aku kunjungi.

Program percutian yang tidak dirancang.

Tugasan Leksikografi yang telah terabai.

Berikut merupakan dua gambar terpilih ketika berada di Pulau Pinang bersama anggota Keluarga Bahagia.


Berdiri: Redzuan, Mazwan, Abdul Rahman, Shakila, Munirah, Noraini, Wahidah, Siti Hajar.
Tidak berdiri: Azhar


Lelaki: Mazwan
Perempuan: Munirah, Nazirah, Noraini, Siti Hajar, Wahidah, Shakila.


Alhamdulillah, Isnin (4 Jun 2012), 3:40 pagi.

Selesai jua akhirnya tugasan terakhir iaitu tugasan berkumpulan untuk modul Leksikografi.

Meskipun lewat.

Bukan lewat seminggu.

Lebih daripada seminggu.

Lewat 10 hari?!

Lewat sampai ke minggu ulangkaji!

Rekod sejarah telah kupecahkan.

Rekod yang tidak membanggakan langsung.

Antara tugasan dan percutian, aku memilih...

PERCUTIAN.

Faham-faham sahajalah memandangkan empat rancangan telah kutolak sebelum ini demi tugasan.

No comments:

Post a Comment