Permulaan bagi sebuah pengakhiran.
Pagi ini merupakan hari peperiksaan pertama bagiku.
Kertas bagi modul Islam dan Kesenian Melayu.
Debaran telah berganti kelegaan dan ketenangan.
Walaupun sebenarnya jiwa masih berkocak dek perkara yang baru aku ketahui semalam.
Alangkah baiknya aku tidak tahu agar jiwaku tidak berkocak meskipun semalam jiwaku bergelora bahkan bergelombang kerana perkara yang berkaitan ketidakjujuran dan ketidaktelusan itu akan mengheret dan menyeret aku ke dalam perangkap yang gelap sedangkan aku tidak bersalah.
Aku cuba untuk mengintrospeksi diri dan menyabarkan hati.
Apakah ini ujian atau teguran daripada Tuhan?
Walau bagaimana pun, pagi ini Tuhan yang Maha Baik telah mempermudahkan urusanku.
HambaNya yang kurang taat ini masih beroleh nikmat dengan memperoleh soalan peperiksaan yang tidak sukar, sudah dipelajari dan mampu dijawab.
Bahagian A (Soalan Wajib)
1. Baju kurung adalah antara pakaian utama masyarakat Melayu dan melambangkan identiti. Bincangkan keistimewaan baju ini dari perspektif Islam.
Bahagian B (Soalan Pilihan)
2. Bincangkan konsep penciptaan ukiran, peranan motif, fungsi dan reka bentuk ukiran Melayu tradisi menurut perspektif Islam.
3. Filem dan drama adalah antara media hiburan yang diminati ramai. Bagaimanakah ia boleh digunakan untuk menyampaikan mesej, sindiran dan pendidikan? Berdasarkan filem atau drama yang dihasilkan di Malaysia, bincangkan kenyataan tersebut.
4. Secara umumnya masjid dimaksudkan sebagai 'tempat sujud' (sajadah), atau 'tempat mengerjakan sembahyang'. Adakah masjid kini hanya dibina atas dasar falsafah Islam semata-mata atau juga mengambil kira dari aspek praktikal dan aktiviti-aktiviti di dalamnya? Bincangkan.
5. Persembahan nasyid dan marhaban adalah contoh seni nyanyian dan muzik yang mempunyai ciri-ciri atau unsur keIslaman. Bincangkan.
Berdasarkan nota, aku mempunyai fakta yang lebih banyak untuk soalan 4 tetapi soalan itu aku anggap tidak mudah untuk dijawab. Lantas, aku pilih soalan 3 bukan kerana aku anggap soalan itu mudah untuk dijawab dan bukan juga kerana aku mempunyai nota dan fakta yang cukup.... tetapi aku fikir jawapan yang ditulis adalah secara langsung dan dapat kukutip daripada drama yang pernah kutonton. Drama Diari Ramadhan Rafique. Drama yang Abang syorkan aku tonton beberapa tahun lalu sebelum aku pernah terfikir pun aku akan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Drama Nur Kasih. Drama yang menjadi bualan ramai di FB semasa pengajianku di Universiti Malaya bahkan drama ini telah menjadi subjek kajianku untuk dua buah modul. Drama Ustaz Amirul. Drama yang juga aku tontoni semasa pengajianku di Universiti Malaya.
Pasrah.
Berserah.
Sudahlah.
Terbaik?
Aku rasa tidak.
Termampu?
Barangkali itulah.
Alhamdulillah, Allah yang Maha Mengasihani telah mempermudahkan urusanku dengan mengizinkan soalan-soalan yang tidak sukar untuk dijawab bahkan subtopik itu sudah pun aku pelajari dan ulangkaji berdasarkan nota dan fakta yang kumiliki.
:)
No comments:
Post a Comment