Seperti yang dirancang walaupun tidak ditetapkan, seharusnya aku bertolak jam 3.30 petang.
Sempat sebenarnya kerana hari pertamaku di tempat bertugas tidak mengambil masa yang panjang tetapi aku telah menukar perancanganku ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu memandangkan aku terlalu letih dan tidak cukup tidur.
Apatah lagi, hari Isnin adalah cuti Hari Belia.
Bererti aku tidak perlu tergesa-gesa pulang ke Singapura pada hari Ahad apabila aku tiba di Kuala Lumpur pada hari Sabtu.
Mahirah tidak dapat menemaniku.
Aku perlu ke Kuala Lumpur kerana perlu mendapatkan barang-barangku yang masih ditinggalkan dalam C403.
Barang-barang yang telah dimuatkan dalam dua bagasi telah selamat kembali ke tanah air bersamaku meskipun sampai ke hari ini, hanya satu bagasi yang sudah aku kosongkan manakala satu lagi telah kubuka dan belum kukosongkan sepenuhnya.
Entah di ruang mana harus aku letakkan barang-barangku sedangkan bilikku sudah agak penuh dengan barang-barang yang sedia ada dan barang-barang yang dibawa pulang.
Aku perlukan sebuah rumah.
InsyaAllah, aku perlu kumpul wang dan rancang kewangan ke arah itu.
Berbalik kepada C403 yang dekat di hati dan jauh di mata, InsyaAllah aku akan menghuni C403 pada hari Sabtu dan Ahad kerana aku bercadangkan menyerahkan semula kunci pada hari Isnin.
Perasaan hiba sewaktu melangkah kaki meninggalkan C403 yang menjadi kediaman masih terasa.
Perasaan hiba sewaktu melangkah kaki meninggalkan katil yang menjadi tempat tidurku masih terasa.
Perasaan hiba yang mencengkam qalbu pada 25 Jun 2012 iaitu hari Isnin yang lalu.
Belum pun seminggu.
Subhanallah.
Emosi cukup terusik hingga tiada daya kekuatan untuk menanggalkan cadar dan sarung bantal.
Sewaktu mengemas barang-barang sebelum pulang ke tanah air pun, aku kian terkaku selalu setiap kali emosi terusik dek memori di dalam bilik bersama barang-barang tertentu.
Cadar dan sarung bantal adalah salah satu daripadanya.
Bukan kerana cadar dan sarung bantal itu baru dipasang tetapi katilku itu...
Katilku itu telah menjadi tempat tidurku selama tiga tahun di kolej (meskipun tidak sampai tiga tahun kerana aku masuk ke bilik C403 pada 1 Oktober 2009).
Tiga tahun.
Kurang daripada tiga tahun sebenarnya.
Meninggalkan kediaman.
Menghentikan kelaziman.
Setelah tiga tahun....
Sedangkan sebahagian besar masaku selama tiga tahun itu banyak dihabiskan dalam bilik C403.
Di atas katil itu.
Meskipun pada mulanya aku berada di tingkat atas katil dan kemudian beralih ke tingkat bawah pula, di atas katil itulah....
Di atas katil itulah aku membaca, menaip tugasan, menghafal, belajar dan berfikir.
Di atas katil itulah aku melungsuri internet, berFB, berYahoo Messenger dan berblog.
Di atas katil itulah aku menangis, merajuk, bersendirian dan bertarung dengan emosi dalam diri.
Di atas katil itulah aku tidur meskipun tidurku bukan pada waktu malam dan tidurku boleh dikatakan tidak begitu selesa sebenarnya.
Dalam ketidakselesaan, kelaziman membiasakan.
Emosi cukup terusik apabila meninggalkan katilku itu tanpa menanggalkan cadar dan sarung bantal kerana pada hakikatnya, aku tidak pernah walau sekalipun menanggalkan cadar dan sarung bantal tanpa berganti cadar dan sarung bantal yang lain.
Tidak elok rasanya ditinggalkan tilam itu tidak bercadar dan bantal itu pula tidak bersarung walaupun bercuti.
Namun, kali ini aku tidak lagi bercuti tetapi telah kembali ke tanah air.
InsyaAllah, aku akan menghuni bilik C403 pada hari Sabtu dan Ahad sebelum menyerahkan kunci ke pejabat pada hari Isnin.
Pecah hati... lagi.
No comments:
Post a Comment