Friday, June 29, 2012

Kacang Phool Perantau Kembali

Resipi Kacang Phool ini telah aku perolehi daripada salah sebuah lelaman blog peribadi.

Namun oleh sebab resipi ini adalah percubaan pertamaku memasak setelah kembali dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur, aku telah menamakan resipi ini dengan nama 'Kacang Phool Perantau Kembali'.

Bukan sahaja percubaan pertamaku memasak setelah kembali dari Universiti Malaya, resipi Kacang Phool ini merupakan percubaan pertamaku.

Resipi ini dekat di hati kerana berkait dengan program Singgah Singapura yang disertai rakan-rakan seperjuangan ataupun anggota keluarga seakademi dan sesesi.

Resipi asal dapat diikuti melalui lelaman blog peribadi yang beralamat berikut:

http://sawanila.com/v10/2010/06/kacang-pool-aka-madames-foul/

Manakala resipi yang telah aku ubah suai daripada resipi asal dan aku namai Kacang Phool Perantau Kembali adalah seperti berikut:

Bahan kisaran:
1) 5 biji bawang besar
2) 1 ulas bawang putih
3) 1 sudu kecil jintan manis
4) 1 sudu kecil jintan putih
5) 1 sudu kecil ketumbar
6) 1 inci halia
7) 1 cawan air

Bahan tumisan:
1) Minyak masak
2) 2 sudu besar minyak sapi
3) 2 sudu besar gula
4) 1/2 sudu besar garam (1/2 bererti setengah)
5) Bahan kisaran
6) 2 tin Kacang Phool (Hanya 1 tin kacang yang perlu dikisar)

Bahan tambahan:
1) Telur mata lembu
2) Hirisan lada hijau
3) Hirisan lada merah
4) Bawang merah dipotong dadu
5) Limau nipis dibelah dua
6) Roti

Cara memasak:
(a) Kesemua bahan kisaran dimasukkan dalam mesin pengisar. Dengan lafaz basmallah, kisarlah dengan senyuman.
(b) Minyak masak dipanaskan. Minyak sapi dimasukkan. Berhati-hati.
(c) Tumis bahan kisaran dalam minyak panas. Pada waktu ini, aroma tumisan akan menikam sukma.
(d) Apabila bahan tumisan mulai pekat, masukkan kedua-dua tin kacang.
(e) Rasai masakan terlebih dahulu sebelum garam dan gula dimasukkan.
(f) Hiasi masakan dengan hirisan lada hijau, hirisan lada merah dan bawang merah potong dadu. Hidangkan masakan bersama roti, telur mata lembu dan limau nipis yang diperahkan ke atas masakan.

Begitulah resipiku. Resipi yang telah diubai suai daripada resipi asal dengan menambahkan 1 lagi tin kacang. Salah satu tin kacang dikisar manakala satu tin kacang lagi tidak dikisar. Minyak sapi pula melazatkan rasa.

Alhamdulillah, percubaanku menjadi! Sama ada lazat ataupun tidak, aku tidak pasti. Emak telah memberi 8 markah untukku. Emak tentunya bermurah hati terhadap anaknya sendiri iaitu aku. InsyaAllah, jika ada umur yang panjang dan jika ada peluang yang terbentang, akan aku masak resipi ini sekali lagi.

Resipi Kacang Phool Perantau Kembali!

No comments:

Post a Comment