Thursday, June 7, 2012

Seni Busana (1)

Aku sedang mengulangkaji tentang Seni Busana.

Itulah salah satu sub topik bagi modul Islam dan Kesenian Melayu.

Antara ungkapan adat yang indah dan perlu diketahui untuk sub topik ini ialah:

(1)
Adat memakai pada yang sesuai
Adat duduk pada yang elok
Adat berdiri tahukan diri

Ungkapan ini mengandungi makna yang dalam, intinya memberi petunjuk bahawa setiap orang dituntut untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, berperilaku menurut alur dan patutnya.

Dalam hal berpakaian hendaklah mengacu kepada asas 'sesuai' iaitu

(2)
Sesuai pakaiannya
Sesuai memakainya
Sesuai cara memakainya
Sesuai tempat memakainya
Sesuai pula menurut ketentuan adat

Selain itu diingatkan pula agar orang yang memakai pakaian Melayu itu haruslah menampakkan sikap dan perilaku terpuji, menunjukkan keperibadian yang baik, sehingga tidak merosak atau merendahkan martabat pakaian Melayu yang dipakainya.

Dalam ungkapan yang lain ditegaskan lagi

(3)
Apa tanda adat dijunjung
Tahu memakai baju kurung
Pertama, dikurung oleh syarak
Kedua, dikongkong oleh adat

Orang tua-tua menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dikurung oleh syarak ialah pakaian Melayu itu wajib mengikut ketentuan syariat Islam. Antara lain dipantangkan terlalu ketat. Yang dimaksudkan dengan dikongkong oleh adat ialah tahu memilih pakaian yang sesuai, tahu alat kelengkapan pakaian, tahu cara memakainya, tahu tempat memakainya dan tahu pula makna dan tujuan memakainya.

(4)
Apabila memakai tidak senonoh,
Nama rosak maruah pun jatuh.

Apabila memakai tidak sesuai,
Aib terdedah malu terburai.

Apabila memakai tidak semenggah,
Aib tersingkap malu terdedah.

Apabila memakai membuka aurat,
Tanda hidupnya tidak beradat.

Apabila memakai tak tahu diri,
Ke hulu ke hilir orang mengeji.

Merujuk kepada berbagai-bagai ungkapan di atas, orang Melayu selalu berusaha memilih pakaian yang sesuai dengan dirinya dan kedudukannya, berusaha memakai pakaian dengan baik dan benar, dan berusaha menjaga agar tidak melanggar pantang larang dalam berpakaian, dan berusaha pula untuk menunjukkan perilaku terpuji dalam kehidupan sehari-harinya.


Teks diperolehi daripada artikel bertajuk Etika Berpakaian Melayu tulisan Tenas Effendy yang terkandung dalam buku berjudul Busana Melaka.

No comments:

Post a Comment