Friday, June 15, 2012

Dalam Monolog, Ada Dialog.

Ketika emosiku sedang berdebat sangat hebat dengan akalku dalam jiwa seorang Nuraini.

Ketika seorang Nuraini berasa bahawa dia hanya bermonolog sedangkan dialog antara dia seorang hamba dengan Dia Penciptanya jelas telah dihampakan.

Dihampakan sekali lagi.

Dihampakan sekian kali.

Setelah menunaikan solat pada hujung waktu (membuktikan bahawa aku seorang hamba yang kurang taat sedangkan empat tahun dididik Ayahanda untuk mendirikan solat pada awal waktu tidak aku laksanakan), ayat-ayat Cinta Agung kujengah.

Surah Yunus.

Seperti yang pernah satu-satunya Adikku ceritakan kepadaku tentang kisah Nabi Yunus suatu masa dahulu agar jiwaku terpujuk dengan ujian Tuhan yang Maha Tahu ketika aku hampa.

Ayat Cinta Agung yang ke-44 dalam Surah Yunus melantunkan: "Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri."

Ya Allah, teguranMu terhadapku!

Insan yang ego ini.

Hamba yang ego ini.

Aku yang ego ini.

Kemudian jari-jemariku menjenguk Facebook.

Kulihat ada pautan lagu yang diposkan di dindingku daripada Adik Azhar.

Sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Adik Azhar sebelum ini.

Kulihat tajuk lagu.

'Aku Yang Berdosa'.

Ya Allah, teguranMu terhadapku!

Tentulah Engkau yang mengatur jadual dan tentulah Engkau yang mencatur hati Adik Azhar untuk mengepos lagu di dinding FBku tepat pada masanya semata-mata untuk menegurku ketika jiwaku sedang remuk dan berkecamuk bahkan aku terasa Engkau tidak berdialog denganku melainkan aku hanya bermonolog.

Akulah yang menzalimi diriku sendiri.

Akulah yang berdosa.

:(

Lantas.... apakah tindakanku selanjutnya setelah mendapat teguran daripadaMu?


No comments:

Post a Comment