Kolokasi bererti asosiasi atau perkaitan tetap kata dengan kata lain dalam lingkungan yang sama. Misalnya, jika sampiran sesebuah rangkap pantun itu menyentuh tentang pertanian, kalau dapat dicarikan kata-kata yang berkaitan dengan pertanian juga seperti nama tanaman, benih, petani, peladang, sawah, ladang, bendang, dan yang seumpamanya. Contohnya:
(a)
Malam ini merendang jagung,
Malam esok merendang serai;
Malam ini kita berkampung,
Malam esok kita bercerai.
(b)
Asal kapas menjadi benang,
Asal benang menjadi kain;
Barang lepas jangan kenang,
Sudah menjadi hak orang lain.
(c)
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.
Dalam rangkap pantun pertama dikaitkan antara jagung dengan serai yang merupakan jenis-jenis tanaman yang sering ditanam oleh para petani Melayu. Jagung ditanam sebagai tanaman selingan dengan penanaman padi, sedangkan serai ditanam untuk perencah masakan dan perubatan tradisional. Demikian juga malam dan merendang yang diulang.
Dalam rangkap pantun kedua perkaitan perkataan-perkataan ialah kapas, benang dan kain. Kesemuanya berkaitan dan melengkapi kerana daripada kapas maka dijadikan benang, kemudian daripada benang dijadikan kain.
Pantun rangkap ketiga, perkaitan antara air tenang, laut, sampan, kolek dan tanjung dan juga perkaitan antara hati, mulut, budi, dan rasa.
(Teks dipetik daripada halaman 15 dan 16 dalam buku 'Pemilihan Kata dalam Pantun Melayu' yang ditulis oleh Amat Juhari Moain.)
Teks ini ditaip kerana hasrat untuk berlayar ke alam mimpi masih tidak kesampaian. Percubaan demi percubaan yang masih gagal. Lantas, kubaca dan kutaip semula teks ini untuk mengisi masa terluang ini memandangkan mataku masih segar-bugar.
No comments:
Post a Comment