Wednesday, May 30, 2012

Dialog Anak-Anakku: Mujahid dan Syahid


Adik: Kenapa Abang Mujahid sayangkan Adik? Adik kan nakal. Adik selalu ambil mainan Abang Mujahid tanpa izin. Selepas puas main, Adik tak pulangkan semula mainan Abang Mujahid. Adik pernah pecahkan mainan Abang Mujahid tetapi Adik tak pernah minta maaf pun. Kadang-kadang Adik yang pukul Abang Mujahid apabila Adik tak puas hati dengan Abang Mujahid. Kenapa Abang Mujahid tak pernah balas pukulan Adik? Kenapa Abang Mujahid masih sayangkan Adik padahal Adik kan budak nakal.

Abang: Kenapa tiba-tiba Adik tanya soalan macam tu?

Adik: Sebab Adik nak tahu kenapa Abang Mujahid baik sangat kepada Adik yang nakal dan selalu susahkan Abang Mujahid.

Abang: Abang tahu Adik tidak akan nakal untuk selama-lamanya. Adik Syahid pasti akan jadi seorang anak yang baik suatu hari nanti.

Adik: Baik macam Abang Mujahid. Tapi kenapa Abang Mujahid tetap sayangkan Adik walaupun Adik nakal sangat.

Abang: Kerana Allah yang lebih sayangkan Adik. Kalau Abang tak sayangkan Adik sedangkan yang menciptakan Adik sayangkan Adik, malulah Abang Mujahid kepada Pencipta kita berdua.

Adik: (Senyum). Adik nak jadi baik macam Abang Mujahid.

Abang: Abang tak tahu.

Adik: Abang Mujahid tak tahu yang Adik boleh jadi baik atau tak?

Abang: Abang Mujahid tak tahu sama ada Abang Mujahid akan dapat menjadi anak dan abang yang baik untuk selama-lamanya. Nakal Adik Syahid pun bukan untuk selama-lamanya dan sekarang Adik nak jadi baik.

Adik: Kalau Abang Mujahid nak jadi nakal, siapa nak beri contoh yang terbaik untuk Adik?

Abang: Abang Mujahid bukan nak jadi nakal tetapi Abang Mujahid takut kalau Abang Mujahid tak dapat menjadi baik untuk selama-lamanya. Siapa kita untuk menentukan?

Adik: Abang Mujahid, Adik nak doakan Abang Mujahid sentiasa jadi baik dan dapat temani Adik Syahid untuk jadi baik. Di dunia dan di syurga. (Mendakap Abang Mujahid)

Abang: Adik Syahid, Abang Mujahid pun nak Adik Syahid temani Abang Syahid untuk jadi baik di dunia dan di syurga. (Mendakap Adik Syahid)



[Walaupun bahasa yang direka cipta agak tinggi dan tidak sesuai diujarkan oleh kanak-kanak, dialog yang tercipta hanyalah untuk menyampaikan mesej bahawa fitrah kanak-kanak itu bersih walau bagaimana nakal sekalipun mereka. Lantas, ibu bapa berperanan mendidik jiwa mereka jauh sebelum anak-anak ini dilahirkan dengan ibu bapa terlebih dahulu membersihkan diri dan hati serta mendidik jiwa agar terbit rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Moga dengan didikan ibu bapa yang sentiasa inginkan kebaikan bersumberkan kebenaran seperti yang diwahyukan, lahirlah generasi yang juga baik dalam meniti jalan kebenaran.]

kecil lagi kerdil (1)


'Semakin jauh ku dariMu
Semakin dekat pula Kau menghampiri daku
Oh... Tuhan Yang Maha Pengasih
Siapalah diriku di pandanganMu'

Saturday, May 26, 2012

Destinasi Cinta (Mestica)



Menyingkap tirai hati mengintai keampunan
Di halaman subur rahmatMu Tuhan
Tiap jejak nan bertapak debu kejahilan
Akan ku jirus dengan madu keimanan

Tak ternilai airmata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Tak kan berpaling pada palsu duniawi

Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang ku temui
Hanya kecewa menyelubungi

Gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasihMu

Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati

Lestarikan wadi kalbuku oh Tuhanku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Biarpun sukar bagiku melamar redhaMu
Namun masih kumengharap ampunanMu
Wahai Tuhanku
Ya Allah

Friday, May 25, 2012

Damba Kasih (Inteam)




Semakin jauh ku dariMu
Semakin dekat pula Kau menghampiri daku
Oh... Tuhan Yang Maha Pengasih
Siapalah diriku di pandanganMu

Semakin cuba kudekati
Semakin kuat pula Kau mendugai aku
Oh... Tuhan Yang Maha Sempurna
Kerdilnya diriku di hadapanMu

Bagaimanakah nantinya tika berhadapan denganMu
Sudikah Kau menerima hambaMu yang hina ini
Ya Allah Kau Maha Pengampun

Di bayangan mentari aku kealpaan
Dusta dunia penuh kepura-puraan
Di kala dini hari aku kepasrahan
Mendamba jernih embun kasih sayangMu
Oh... Tuhan

Andainya dihitung amalanku
Belum pasti dapat kuhampiri gerbang syurgaMu
Oh... Tuhan Yang Maha Pemurah
Hindari diriku dari siksaMu
Oh... Tuhan

Kasih sayangMu Tuhan
Itu yang kudambakan
Dengan rahmatMu ampunilah diriku

Thursday, May 24, 2012

Kamus Dewan Edisi Keempat dan 5 Kategori Maklumat Kamus

'Perkataan 'kamus' bererti kitab yang berisi keterangan tentang erti kata-kata (KUBI 1976:440) dan sebagai 'buku yang mengandungi kata-kata yang disusun mengikut abjad dan keterangan mengenai ertinya' (KD 1970:416), atau sebagai 'buku yang berisi pilihan kata-kata sesuatu bahasa atau sesuatu kelas kata khusus, biasanya disusun mengikut abjad dengan penjelasan makna serta maklumat lain dinyatakan dalam bahasa yang sama atau dalam bahasa yang lain' (Barnhart 1966:336).

Berdasarkan tiga pendapat ini, dapat dirumuskan bahawa kamus merupakan sebuah buku rujukan yang mengandungi kata-kata daripada sesuatu bahasa yang disusun mengikut abjad, diberi makna dan keterangan lain yang berkenaan dengan kata-kata tersebut. Perkataan 'kamus' berasal daripada bahasa Arab, qamus dengan bentuk jamak qawamis. Perkataan Arab itu sendiri berasal daripada perkataan Yunani okeanos, iaitu yang bererti lautan. Teeuw (1964:388) menganggap kamus sebagai kitab yang memberikan keterangan ttentang erti kata-kata atau lautan samudera yang dalam dan berbahaya. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa perkataan 'kamus' berasal daripada bahasa Farsi dan bukannya bahasa Arab (Abdullah Hussain 1970:339).

Walau apa pun tanggapannya, ternyata bahawa sesebuah kamus mendepani lautan kata yang cukup luas, yang perlu diselami dan digali untuk mencari permata yang bernilai di dasarnya. Dalam hal ini, mungkin ada penyusun kamus yang tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi kerana berdepan dengan lautan kata yang luas itu. Asmah (1987:18) berpendapat bahawa perkamusan meliputi semua subdisiplin yang penting dalam linguistik seperti leksikologi, sosiolinguistik, analisis wacana, pragmatik, etimologi dan sebagainya. Ini bermakna bahawa pengertian kamus boleh juga ditafsirkan sebagai 'repositories of words of the language' (Jackson 1988:36).'

Teks ini terkadung dalam bahagian Pendahuluan daripada artikel bertajuk Perkamusan Dan Leksikografi: Suatu Pengenalan tulisan Ibrahim Ahmad yang boleh diperolehi daripada buku Perkamusan Melayu Teori dan Amali.

Bagi tugasan pembentangan berkumpulan, kami berempat iaitu Nor Atiqah, Nor Falahiyah, Nurul Anis dan diriku telah menunaikan tugas dan tanggungjawab kami dalam waktu kuliah pada Isnin lalu, 14 Mei 2012.

Huhuhu.

Kamus yang dikaji ialah...


Objektif kajian kami ialah...


Berdasarkan lima kategori maklumat kamus yang dibentangkan oleh Hartmann dan James, kami telah mencipta akronim LOPEL agar lebih mudah untuk mengingati kelima-lima kategori maklumat itu.



Namun, hanya empat sahaja kategori maklumat kamus yang dapat ditemui dalam Kamus Dewan Edisi Keempat iaitu...






Maklumat piktorial tidak terkandung dalam Kamus Dewan.


Setakat sampai di sini sahaja untuk perkongsian dalam pos kali ini memandangkan tugasan penulisan berkumpulan belum lagi kami selesaikan dan belum lagi kami serahkan kepada Dr Ibrahim.

Huhuhu.

Semoga diberi kekuatan pada waktu ini untuk meneruskan usaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang terakhir tetapi belum berakhir ini.

Terakhir belum berakhir.


Wednesday, May 23, 2012

Stress Management: B R E A D S

Selagi termampu. Mampukah aku?



Betapa aku sedang tertekan sejak tadi.

Kini, aku masih berusaha menenangkan diri sendiri.

Selagi termampu, tidak akan aku izinkan air mataku ini daripada mengalir sedangkan adakalanya dengan mengalirkan air mata, perasaan tertekan akan reda.

Tidak!

Selagi termampu, aku akan menahan air mataku ini.

Biarlah sekadar bergenang air mataku ini.

Alah bisa tegal biasa.

Jika aku terlalu selalu membiasakan diri dengan mengalirkan air mata ketika berhadapan dengan ujian hidup, aku akan hanya melemahkan jiwaku sendiri sedangkan air mata ini lebih layak ditumpahkan ketika berbicara langsung kepada pencipta air mataku atas segala dosa-dosaku.

Selagi aku belum mampu mengalirkan air mata di hadapan pencipta air mataku, tahanlah dirimu dan tahanlah hatimu daripada menangis wahai Nuraini.

Bukan kerana aku mampu tetapi aku akan cuba selagi termampu.

Perlukah aku tertekan?

Maafkan aku wahai diri dan hati kepunyaan Nuraini kerana belum mampu memelihara diri dan menjaga hati daripada berasa tertekan.

Semoga ketenangan menggantikan ketegangan.

Sunday, May 20, 2012

Embrio

'Ketika ramai orang Islam masih ragu-ragu tentang kebenaran ayat-ayat Al Quran, ramai pula saintis yang bukan beragama Islam meyakini akan kebenarannya. Apabila didedahkan dengan ayat-ayat Al Quran, mereka begitu terperanjat kerana ianya bertepatan dengan penemuan hasil kajian mereka. Sudah menjadi lumrah kepada sesiapa yang mengkaji, dialah yang akan menemui. Salah seorang daripada saintis-saintis tersebut ialah Profesor Keith Moore.

Nama Profesor Moore cukup harum dalam bidang perubatan di seluruh dunia. Daripada pelajar perubatan tahun satu sehinggalah doktor-doktor pakar dan profesor-profesor, semuanya mengenali nama tokoh ini. Beliau merupakan salah seorang saintis yang cukup terkenal dalam bidang anatomi (kajian tubuh manusia) dan embriologi (proses perkembangan janin menjadi manusia). Buku Clinical Anatomy yang dihasilkannya merupakan antara buku anatomi yang terbaik dan paling masyhur di kolej-kolej perubatan.

Beliau berasa takjub bagaimana Nabi Muhammad s.a.w boleh menjelaskan mengenai embrio (janin) dan perkembangannya dengan terperinci dan tepat dengan ayat-ayat Al Quran, sedangkan ilmu embriologi hanya diketahui oleh ahli-ahli sains sekitar 30 tahun yang lalu. Perasaan hairan tersebut bertukar menjadi hormat kepada ayat-ayat Al Quran dan hadis tersebut.

Salah satu ayat Al Quran yang menimbulkan perasaan takjub kepada beliau ialah mafhum firman Allah s.w.t: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu sari pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan sari pati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim), Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik." (Surah Al Mukminun 23:12-14)

Dengan ketinggian ilmu yang beliau miliki, beliau telah dapat menemui keserasian ayat-ayat ini dengan ilmu sains moden. Beliau telah menghuraikan ayat-ayat ini dengan ilmu embriologi yang dimilikinya.


Alaqah dan Mudghah

1. Alaqah dalam bahasa Arab mempunyai tiga makna iaitu

(i) Makna pertama alaqah ialah lintah. Apabila dibandingkan lintah dengan embrio peringkat alaqah, beliau mendapati satu persamaan tepat antara kedua-duanya. Beliau menyimpulkan bahawa embrio peringkat alaqah mempunyai bentuk sama dengan lintah.

(ii) Makna kedua alaqah ialah sesuatu yang tergantung. Selepas benih disenyawakan, ia akan bergerak ke dalam rahim ibu (uterus) dan menempel di dindingnya. Embrio yang menempel di dinding rahim akan kelihatan tergantung.

(iii) Makna ketiga ialah segumpal darah. Beliau menjelaskan ketika peringkat alaqah, embrio telah melalui beberapa proses kejadian. Antaranya pembentukan darah dalam tempat yang tertutup (closed vessels) sehinggalah proses metabolik telah sempurna melalui plasenta (uri). Ketika peringkat alaqah, darah mengalir dengan terhad dalam satu tempat yang tertutup. Maka, embrio berbentuk segumpal darah di samping seperti lintah.

2. Mudghah dalam bahasa Arab bermaksud sesuatu yang dikunyah. Profesor mengambil gum dan mengunyahnya. Kemudian beliau membandingkannya dengan gambar embrio peringkat mudghah. Ternyata ia sama.'





Artikel bertajuk Prof. Moore dan Al Quran tulisan Dr Farhan Hadi Mohd. Taib telah diterbitkan dalam majalah SOLUSI Isu 15 pada halaman 95-96.

Thursday, May 17, 2012

Lembaran tulisanku pada suatu masa dahulu

Aku tersua semula dengan lembaran-lembaran kertas yang di atasnya tertera tulisan yang mewakili pemikiran dan perasaanku.

Antara lembaran-lembaran tulisan itu, aku tersua semula dengan lembaran-lembaran tulisan bertarikhkan tahun 1995, 2000 dan 2004.

Betapa aku terasa akan kepentingan menulis tarikh sebagai bukti dokumentasi.

Sekurang-kurangnya, dapat aku lihat dan nilai pemikiran dan perasaanku pada masa nan lalu.

Barangkali boleh aku lakukan satu perbandingan diakronik.

Antara lembaran tulisan yang ingin aku rakamkan dalam blog ini adalah tulisanku yang tidak bertajuk dan tidak bertarikh.

Namun, ayat pada awal dan ayat pada akhir seperti memberi jawapan apakah barangkali kandungan tulisan ini dan bilakah lebih kurang tulisan ini dicoretkan.

Tulisan ini bermula dengan ayat 'Kepada: Anak-anak muridku' dan diakhiri dengan ayat 'Jadilah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang semata-mata kerana keredhaan Tuhan.'

Ahakz.

Cemerlang, gemilang, terbilang?!

Satu jawapan tentang bilakah tulisan ini dicoretkan meskipun tidak tercoret tarikh tertentu secara khusus.

Semoga tulisan ini tidak ditertawakan kerana aku sendiri ketawa ketika membacanya kerana aku seolah-olah mengibaratkan guru sebagai ibu dengan harapan yang tinggi bak Gunung Ledang terhadap anak-anak muridku.

Begini isi kandungan tulisan di atas lembaran kertas yang boleh disifatkan seperti warkah.

'Kepada: Anak-anak muridku

Guru ibarat ibu. Guru mendidik seperti ibu meskipun guru bukan insan yang melahirkan anak-anak dengan jerih-perih, keringat dan pengorbanan. Namun, guru cuba sedaya upaya memastikan anak-anak murid kenyang dengan kasih sayang dan ilmu pengetahuan yang diharapkan dapat memberi manfaat di sunia dan akhirat. Di sekolah, guru mengambil peranan sebagai ibu. Meneliti sikap dan kelakuan, menegur dan menasihati, mendengar dan berkongsi rasa hati, mengajar dan belajar bersama, mengasah bakat dan mendidik kemahiran, mengingatkan dan memberi perangsang. Guru memandang anak-anak dengan kasih sayang dan kepercayaan bahawa anak-anak adalah aset agama, bangsa dan negara. Guru percaya anak-anak akan menjadi pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia. Di kala masyarakat sedang mengharapkan generasi yang mampu menaungi dan membela, ingatlah bahawa apa sahaja yang anak-anak lakukan adalah untuk keredhaan Tuhan. Keredhaan Tuhan ertinya sesuatu yang mendapat restu Tuhan. Moga beroleh kejayaan berkat usaha, yakin dan sifat tawadhuk. Jadilah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang semata-mata kerana keredhaan Tuhan.'

Ahakz.

Bayangkan aku membacanya di hadapan kelas untuk anak-anak muridku.

Samada tangan mereka menongkat daku kerana berasa bosan, mata terkebil-kebil kerana berasa bosan atau tertidur kerana berasa bosan.

Hmmm...

Seketika aku terfikirkan masa hadapan.

Kemungkinan besar aku akan kembali ke 'bangku sekolah' untuk berkhidmat kepada negara, bangsa dan agama sebagai seorang guru pada tarikh 29 Jun 2012.

Barangkali lebih awal daripada itu tetapi secara tentatif, itulah tarikh yang telah aku maklumkan kepada mereka melalui emel kepada pihak kementerian.

29 Jun 2012 jatuh pada hari Jumaat.

Sekolah yang menjadi tempatku bertugas belum dimaklumkan kepadaku atau barangkali belum diaturkan.

KepadaMu ya Allah, aku berlindung.

Berlindung diri daripada fitnah dunia dan fitnah akhirat di tempatku bertugas.

Berbalik kepada lembaran tulisanku itu tadi, entah mengapa aku rasakan 'nada keibuan' dalam warkah itu bukanlah aku.

Entah mengapa.

Walau bagaimana pun, aku perlu mempersiapkan diri untuk kembali menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai seorang guru..... sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah.

KepadaMu ya Allah, aku berlindung.

Berlindung jiwa raga daripada fitnah dunia dan fitnah akhirat di tempatku bertugas.

Kasihanilah hambaMu ini yang mencintai bidang perguruan dan pendidikan.

Cap Jari

Pada hujung setiap jari kita, terdapat alur-alur kecil yang membentuk corak tertentu yang dinamakan sebagai cap jari. Dengan cap jari inilah kita boleh mengeluarkan duit daripada akaun kita di kaunter-kaunter bank. Dengannya juga kita boleh mencetak penyata akaun KWSP malah kakitangan sesebuah pejabat membuka pintu tanpa perlu menggunakan anak kunci lagi. Dengan cap jari juga pihak polis dan pasukan forensik mampu memberkas penjenayah melalui kesan-kesannya di tempat kejadian.

Apabila Al Quran diturunkan 1400 yang lalu, pengetahuan mengenai cap jari masih belum dapat dinilai oleh masyarakat pada waktu itu. Sehinggalah pada tahun 1856, seorang saintis Inggeris bernama Genn Ginsen menemui corak-corak pada hujung jari seseorang yang begitu unik dan berbeza antara satu individu dengan individu lain.

Penelitian terhadap penciptaan cap jari mempunyai erti yang cukup besar. Ini kerana bentuk dan corak pada cap jari seseorang mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Setiap manusia yang hidup di muka bumi atau yang pernah hidup suatu ketika dahulu mempunyai corak cap jari yang tersendiri yang tidak akan sama dengan orang lain. Bahkan, jika sepasang kembar seiras yang mempunyai DNA (deoxyribonucleic acid) yang sama namun cap jari mereka tetap berbeza.

Cap jari telah terbentuk sejak lahir dan ia tidak akan berubah sampai bila-bila pun melainkan terdapat kecederaan yang menyebabkan parut yang kekal pada jari. Bahkan menurut kajian, didapati cap jari mula terbentuk seawal usia tiga bulan di dalam kandungan.

Alangkah hebatnya ciptaan dan kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Struktur yang kecil tetapi kompleks dan unik, sehingga Allah s.w.t secara khususnya menyebutnya di dalam Al Quran. Jika struktur yang kompleks dari segi bentuk dan fungsinya mampu disusun kembali oleh Allah s.w.t di hari akhirat, apatah lagi struktur lain yang tidak begitu kompleks. Semua ini mengingatkan kepada kita bahawa kepadaNya kita akan kembali.

Artikel tulisan Dr Farhan Hadi Mohd Taib yang bertajuk Keajaiban Jari-Jemari telah dimuatkan dalam majalah SOLUSI Isu 30 pada halaman 95-96.

Wednesday, May 16, 2012

Buku, Rak Buku dan Bilik Bacaan

'Siapa diri kamu akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca sekarang.'

Begitulah kata-kata hikmah yang tertera di kulit buku Mukmin Profesional tulisan Pahrol Mohd Juoi.

Pahrol Mohd Juoi merupakan salah seorang penulis yang hasil tulisannya dekat di hati.

'Buku' berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 216 didefinisikan sebagai helaian kertas berjilid yang berisi tulisan dan sebagainya untuk dibaca atau yang mengandungi ruangan kosong untuk ditulis.

Di mana harus buku diletakkan?

Tentulah di rak-rak buku atau di dalam almari.

Namun, Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 1272 merakamkan definisi rak dan bukan rak-rak.

Rak didefinisikan sebagai sejenis para-para daripada kayu atau logam untuk meletakkan pinggan mangkuk, buku, dan lain-lain manakala rak buku pula didefinisikan sebagai para atau tempat meletakkan buku.

Lantas, penggunaan frasa 'rak buku' sahaja sudah memadai.

Tidak perlu menggandakan perkataan 'rak' menjadi 'rak-rak'.

Berikut merupakan gambar rak buku-rak buku yang telah menarik perhatianku.


Alangkah seronok andai punya bilik khas untuk membaca.

Namun, jika terlalu selesa berada dalam bilik itu, barangkali aku akan terlena ketika membaca.



Rak buku berkonsepkan alam iaitu dahan pokok yang bercabang-cabang.

Kreatif.


Konsep rak buku yang berkonsepkan alam iaitu dahan pokok bercabang-cabang ini aku cita-citakan andai aku mempunyai rumah sendiri.

InsyaAllah, perlu ada bilik khas untuk buku disusun dan dibaca.


Ruang kosong dalam rak buku ini tersedia untuk pembaca duduk dengan kaki melunjur.

Kreatif.


Rak buku ini ringkas tetapi kreatif juga kerana membentuk perkataan 'READ'.

Boleh diMelayukan dengan perkataan 'BACA' atau diArabkan dengan perkataan 'IQRA'.

:)

Buku.

Rak buku.

Bilik bacaan.

Impianku.

Tuesday, May 15, 2012

Markah Penulisan Pengajaran dan Pendidikan Seni

Alhamdulillah.

Dr Hamid telah memaklumkan setiap pelajarnya, seorang demi seorang akan pecahan markah dan jumlah markah yang kami perolehi.

Aku gembira kerana tidak menyangka bahawa aku memperolehi 17 markah untuk penulisanku sedangkan pada waktu-waktu terakhir, aku dimaklumkan Kak K bahawa soalan nombor 6 yang kami jawab telah diubah dan kami dikehendaki menyiapkan semula penulisan itu.

Dalam kehampaan, aku hanya membuat sedikit perubahan sahaja kerana bagiku dan Kak K, tidak adil soalan diubah terhadap kami bertujuh.

Tidak mungkin aku akan melakukan semula kajian.

Tidak mungkin aku akan mencari buku rujukan yang sesuai.

Tidak mungkin aku akan mengguna pakai bahan lain yang relevan.

Aku hanya mengolah semula penulisanku dengan kehendak soalan yang baharu dalam ketidakikhlasan.

Bayangkanlah pada minggu itu, aku sedang 'struggle' menyelesaikan tugasan Sosiolinguistikku yang berupa penulisan juga berdasarkan 5 lirik lagu.

30 kasus perlu dikemukakan berdasarkan 5 lirik lagu itu.

Sudah lah aku tidak ke kelas pada hari penghantaran tugasan, bahkan lewat menghantar tugasan itu selama seminggu.... mana mungkin aku memberi tumpuan kepada penulisan Pengajaran dan Pendidikan Seni yang telah aku laksanakan tetapi diminta menyiapkan semula.

Ishk.

Alhamdulillah, 17 markah telah Dr Hamid berikan untuk penulisan itu.

Aku gembira.

Dr Hamid menyatakan dia telah memotong 1 markah daripada markah asal iaitu 18 markah kerana aku tidak menyertakan maklumat informan.

Silap dan salahku kerana mengetahui dan menyedari tentang perkara itu tetapi memilih untuk mengabaikan dan meremehkannya.

Atas sebab itu, 1 markah telah dipotong.

17 markah.

17 adalah angka kesukaanku.

Alhamdulillah.

Saturday, May 12, 2012

Alangkah indah


Alangkah indah senyumanmu wahai anak.

Betapa senyumanmu menyejukkan hati ini.

Betapa senyumanmu menjadi penawar jiwa ini.

Betapa senyumanmu melunakkan perasaan ini agar memahami makna redha dan menghayati erti ikhlas.

Redha menerima ketentuan.

Ikhlas menerima kepahitan.

Aku belum tentu mampu, wahai anak.

Tuesday, May 8, 2012

Minta daun diberi daun, Dalam daun ada bidara; Minta pantun diberi pantun, Dalam pantun ada bicara.

Minta daun diberi daun,
Dalam daun ada bidara;
Minta pantun diberi pantun,
Dalam pantun ada bicara.

Dalam rintangan pemikiran asas bangsa Melayu/Nusantara, peribahasa dan pantunlah menjadi wadah terpenting. Melalui logika kebijaksanaan kolektif dan asosiasi puisi, baris-barisnya melukis jiwa bangsa itu, memberi suara kepada persoalan yang dihadapinya, secara berrsambungan, untuk beberapa ratus kurun, malah ribuan, dalam hal praktikal dan perasaan, jasmaniah dan rohaniah, yang akhirnya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai pendapat, nilai, undang-undang, kasih sayang serta berbagai-bagai jalur perasaan lainnya. Di sini, kita menemui sasterawan/pendeta menggalas dua fungsi sekali gus - sebagai penyair dan sebagai pemikir/pendeta, dua tugas berlainan, tetapi digabungkan dengan cukup alamiah.

Oleh sebab mereka harus hidup, maka manusia Nusantara itu harus menyelesaikan beberapa masalah, dan kerana mereka juga ingin teman-teman atau ahli keluarga mereka terus mendapat manfaat kebijaksanaan bersama-sama, maka disusun dan dikekalkan oleh mereka dalam bentuk lisan yang mengesan jiwa lisan mereka.

Antara begitu banyak masalah yang harus ditanganinya, yang utama ialah bagaimana dia harus hidup dengan alam, mengenalinya, dan belajar daripadanya. Setelah ini diasaskan, maka dia perlu cepat menanam prinsip undang-undang masyarakatnya supaya hak dan keadilan bersama dapat dipastikan. Sementara itu, urusan hidup bermasyarakat, hidup dalam negara, dan hidup sebagai seorang individu, banyak menuntut perhatiannya. Konflik antara kumpulan pula harus diselesaikan, perasaan cinta dan bencinya pula mesti mendapat tempat dan kata sewajarnya. Tetapi, yang tidak kurang penting ialah mencari tempat dan maknanya sebagai manusia dalam cakerawala yang tidak mudah difahami dan dalam hal ini, dia harus berfikir sebagai seorang yang beragama.

Semua ini akhirnya meletakkan dasar pemikiran bangsa itu - dan dalam bentuk gabungannya inilah  falsafah orang Melayu - Nusantara. Di layar besar, perasaan dan pandangannya terlukis nilai, etika, dan unggulnya; tetapi kita tidak harus lupa bahawa semua ini datang daripada pengalaman praktikal untuk hidup dan untuk mati, yang panjang dan diteliti dengan kesabaran orang terdahulu.

(Artikel bertajuk 'Dalam Daun Ada Bicara: Falsafah Alam Pantun Melayu' telah ditulis oleh Muhammad Haji Salleh pada halaman 1-2 dalam buku Pandangan Semesta Melayu: Pantun)

Monday, May 7, 2012

Pasti pulang atau pasti 'pulang'

Air hujan membasahi bumi UM pada pagi ini.

Seperti biasa aku belum melelapkan mata.

Sambil menjengah tugasan Kesenian Melayu dan Islam, Facebook juga turut disinggah.

Jiwa tiada tenang.

Hati tiada senang.

Masa nan lalu masih merantai qalbu.

Masa kini menggamit pilu.

Masa akan datang membuat aku terganggu.

Apakah aku bersedia untuk pulang dan 'pulang'?

Pulang ke tanah air untuk kembali menetap di sana di samping bertugas.

Bertugas sebagai seorang guru yang dikelilingi anak-anak murid yang rencam keletah dan kerenah mereka sebenarnya menghiburkan tetapi....

Aku masih bertetapi.

Hanya Tuhan yang tahu.

Tuhan telah memberiku sebesar-besar nikmat dengan meng'hijrah'kan aku selama tiga tahun di Malaysia sebagai seorang pelajar di Universiti Malaya.

Tidak layak diriku menggelarkan diriku mahasiswi sedangkan usahaku tidaklah segigih itu.

Andaikata gigih, mungkin boleh kunobatkan bahawa Semester 3 dan Semester 4 merupakan dua semester yang memperlihatkan kegigihanku.

Itu pun tidak ramai yang dapat mengerti bahawa aku mempunyai masalah insomnia yang menjejas fokusku di pagi atau siang hari kerana malam hingga ke subuh merupakan waktu paling aktif bagiku.

Walau apa pun, pengajianku di UM akan bernokhtah beberapa minggu lagi.

Pulang ke tanah air adalah suatu perkara yang pasti.

Sudah aku ketahui bila.

Pulang kepadaNya juga merupakan suatu perkara yang pasti.

Meskipun aku tidak ketahui bila.

Antara pulang dan 'pulang', mana satu yang akan menjemputku terlebih dahulu.

Pastinya, kedua-dua pulang dan 'pulang' adalah perkara yang sudah pasti untukku.

Jiwa tiada tenang.

Hati tiada senang.





Sunday, May 6, 2012

Duhai hati nurani seorang Nuraini, redhalah...

Tersinggung apabila aku dihukum dan dilabel sebegitu.

Tersinggung kerana tidak menyangka bahawa soalan-soalan yang kuajukan kepada seseorang kerana pada waktu itu, aku benar-benar mendambakan jawapan untuk menenangkan jiwa yang sedang bergolak dengan persoalan-persoalan yang bersarang di mindaku.... rupa-rupanya menyebabkan seseorang itu menilaiku.

Menilaiku dengan pandangan negatif.

Aku dihukum dan dilabel sebagai insan yang 'keliru' dan 'seharusnya tidak perlu bingung dengan perkara yang simple.'

Seperti itulah kata-kata seseorang itu kepadaku.

Aku bertanya kerana aku ingin mengetahui kebenaran.

Aku bertanya kerana aku ingin persoalanku dijawab dengan penjelasan.

Aku bertanya kerana aku mendambakan ketetapan hati dengan keyakinan yang hakiki.

Namun, pertanyaan-pertanyaanku rupa-rupanya menjadikan seseorang itu menghukum dan melabelku.

Hampa.

Kecewa.

Pilu.

Tersinggung.

Kesal.

Setelah aku teruji dengan seseorang itu yang telah menghukum dan melabelku, aku teruji pula dengan seseorang yang lain.

Seseorang yang lain ini pula menilaiku dengan luahan dan perkongsianku tanpa memahami duduk perkara dan mengerti situasi hatiku.

Luahan dan perkongsian daripada insan yang rapuh sepertiku dirasakan tidak perlu.

Lantas, aku memilih mendiamkan diri untuk membawa hati.

Hampa lagi.

Kecewa lagi.

Pilu lagi.

Tersinggung lagi.

Kesal lagi.

Tidak semestinya hati perempuan dapat difahami oleh hati perempuan juga kerana soalan-soalan yang kuajukan meskipun telah terjawab, sebaliknya menjadikan aku insan yang dihukum dan dilabel.

Tidak semestinya hati perempuan dapat dimengerti oleh hati perempuan juga kerana luahan dan perkongsianku, sebaliknya menjadikan aku insan yang disalahtafsir.

Pada waktu dan ketika hati terhiris, aku menjadi rindu kepada seseorang yang pernah menghuni di ruang hati tetapi telah pergi untuk selama-lamanya.

Dialah satu-satunya insan yang tidak pernah menghukum dan melabelku meskipun ratusan soalan aku ajukan kepadanya kerana dia memahami dan mengerti bahawa jiwaku sentiasa berkocak dengan persoalan-persoalan yang tidak kutahu pada siapa hendak kutujukan.


Dialah satu-satunya insan yang berusaha untuk memahami diriku melalui luahan dan perkongsianku apatah lagi keluhan dan rintihanku.

Mungkin aku perlu belajar menerima kenyataan bahawa bertanya dan mengadu kepada insan bukanlah jalan terbaik.

Sebaliknya, daripada pengalaman pahit ini, aku perlu menjadi seorang insan yang ikhlas apabila didatangkan kepadaku mereka yang bertanya dan mengadu kepadaku kerana aku tidak mahu insan lain merasai apa yang telah, sedang dan masih aku rasai pada waktu itu dan hingga kini.

Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan soalan yang kuajukan lahir daripada hati yang ingin mengetahui kebenaran?

Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan soalan yang kuajukan lahir daripada hati yang inginkan jawapan yang dikukuhkan dengan penjelasan?

Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan aku mendambakan ketetapan hati agar keyakinanku teguh ketika mula condong?

Mengapakah aku disalahtafsir?

Duhai hati nurani seorang Nuraini, redhalah dengan ujian perasaan ini.

Redhalah....

Redhalah....

Redhalah....

:(

Saturday, May 5, 2012

Electric Blue & Rita Rudaini

ELECTRIC BLUE is one of my favourite colours.


RITA RUDAINI is one of my favourite actresses.





Friday, May 4, 2012

Tugasan Sosio Linguistik: Lirik Lagu Pandang Pandang Jeling Jeling

Tengah hari tadi, aku ke Akademi Pengajian Melayu untuk menyerahkan RM300 kepada Khaidir.

Mesyuarat dijadualkan pada jam 11 pagi tetapi aku lewat kerana bangkit daripada tidur pun lewat.

Penyerahan RM250 daripada hasil keuntungan gerai jualan Unit Tajaan sepanjang tiga minggu pertama telah diserahkan kepada Khaidir beberapa minggu yang lalu.

Sejauh ini, RM476.31 telah terkumpul daripada gerai jualan yang mula beroperasi pada Isnin, 19 Mac 2012.

Secara keseluruhan, RM550 telah diserahkan kepada Khaidir.

Selain daripada gerai jualan, setiap pengurus diminta untuk meminta dana sumbangan daripada pelajar Tahun 1, Tahun 2, rakan-rakan di kolej atau sesiapa sahaja yang sudi kecuali pelajar Tahun 3 memandangkan mereka telah diminta untuk menyumbang RM25 setiap seorang.

Alhamdulillah, RM172 telah diperolehi sejauh ini.

Moga dengan terkumpulnya dana sumbangan daripada setiap pengurusku, semoga angka RM1000 dapat tercapai.

Enam minggu telah berlalu.

Minggu hadapan ialah minggu terakhir Unit Tajaan menjalankan perniagaan.

Pengalaman yang 'simple' tetapi bererti lagi indah.

Jam 4 petang tadi adalah janjitemuku dengan Encik Rahman daripada Restoran Rebung yang telah bermurah hati menghadiahkan 2 baucar makan tengah hari untuk 2 pasangan.

Siapa yang bertuah, akan berpeluang makan percuma di Restoran Rebung. :)

Kepergianku ke Restoran Rebung telah ditemani Ashaari yang memandu kereta memandangkan dia daripada Unit Pengangkutan.

Alhamdulillah, rupa-rupanya ramah juga Ashaari.

Khaidir tidak dapat ikut sama kerana ada urusan lain sedangkan jika kami ke Rebung pada jam 2 petang seperti yang dirancang, insyaAllah Khaidir ada bersama.

Kini, aku sedang dan masih mengusahakan tugasan menganalisis lirik lagu.

Bukan mudah meskipun tidak susah.

Lirik lagu yang sedang dianalisis adalah Pandang Pandang Jeling Jeling yang terdiri daripada lapan stanza.

Enam daripada stanza dalam lagu ini adalah pantun Melayu lama yang indah.

Sila hayati dan nikmati meskipun aku masih belum memperolehi maklumat yang mencukupi untuk menyempurnakan tugasanku yang telah tertunda sedangkan tarikh penghantaran tugasan ini ialah Isnin lalu.


Pandang Pandang Jeling Jeling (Dato SM Salim & Siti Nurhaliza)

Cincin intan bunga selasih
Mari dipakai di waktu petang
Kenapa tuan tak mahu berkasih
Adakah orang akan melarang

Kain sarung kain terendak
Memanglah manis kalau dipakai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai

Menjeling menjeling kubertentang
Mata kita sama memandang
Kucuba kucuba nak bertanya
Siapa diakah namanya

Menjeling menjeling kubertentang
Mata kita sama memandang
Bercakap bertanya dan bermesra
Jangan sampai datang rumah

Tuai padi musim dah tiba
Mari menuai di waktu pagi
Kalau begini malang menimpa
Biar kuturut kata hati

Bunga selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun bertemu juga

Kereta kuda pedati lembu
Singgah mari di tepi kuala
Tuan sutera saya belacu
Mana kan boleh berganding sama

Burung jelatik sarang kedidi
Sarang tempua sarang berjuntai
Sungguh pun cantik sutera diuji
Belacu juga tahan dipakai

Thursday, May 3, 2012

Belahan Jiwa Adikku

Berkemungkinan, belahan jiwa adikku telah bertudung kerana gambar-gambar di FB mereka sejak 16 April memperlihatkan begitu.

Alhamdulillah.

Semoga diriku pula akan menyempurnakan pemakaian tudungku ke tahap menutup aurat yang sebenarnya seperti yang diperintahkan Allah s.w.t dan diajarkan Rasulullah s.a.w. kerana aku sedar masih banyak lagi yang belum aku sempurnakan.

InsyaAllah.






Wednesday, May 2, 2012

Tugasan Sosiolinguistik: Lirik Lagu Mengapa Dirindu

Tarikh penghantaran satu-satunya tugasan bagi modul Sosiolinguistik jatuh pada 30 April 2012 iaitu Isnin yang lalu.

Namun apakan daya, aku telah berhasrat untuk melewatkan penghantaran tugasan ini kerana menunaikan hasrat yang terpendam sekian lama dan telah tertunda sejak minggu yang sudah.

Kini, Alhamdulillah, hasrat ke Kelantan telah tertunai pada 27 April 2012 iaitu Jumaat.

Kami bertolak dari Universiti Malaya sebelum jam 12 malam pada 26 April 2012 iaitu Khamis.

Program yang diberi nama Kembara Kelantan oleh pengurus yang memiliki aura yang tenang serta baik budi apatah lagi bertanggung jawab iaitu Abu Bakar telah terlaksana pada 26 April 2012 hingga 29 April 2012.

Abu Bakar telah mengurus penyewaan tempat tinggal kami iaitu sebuah rumah tamu yang terletak di Bachok.

Pengurusku yang teguh pendirian, tegas peribadi dan tegar semangat iaitu Sarah Najwa pula mengurus penyewaan kereta Alza dan kereta Viva untuk kami.

Barangkali di pos yang lain, kenangan di Kelantan akan dirakamkan.

Buat kali ini, sekadar menyatakan bahawa aku tidak menepati tarikh penghantaran tugasan dan hingga ke detik ini, masih mengusahakan tugasan ini.

Tugasan Sosiolinguistik ini boleh dikatakan menarik kerana aku perlu menganalisis 5 lirik lagu.

Sejauh ini, aku telah mengusahakan 4 lirik lagu iaitu lirik lagu Mengapa Dirindu, Pandang-Pandang Jeling-Jeling, Rumah Kecil Tiang Seribu dan Merindu Kepastian.

Ketiga-tiga lagu yang kupilih iaitu Mengapa Dirindu, Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Rumah Kecil Tiang Seribu mengandungi pantun Melayu lama yang indah.

Manakala Merindu Kepastian pula merupakan lagu mendayu-dayu yang penuh estetika kerana mengandungi metafora.

Inginku berkongsi tulisanku tentang lagu pertama pilihanku iaitu Mengapa Dirindu yang kukenal sejak kecil dan telah kujatuh cinta kepadanya sejak itu.

Pada waktu itu, kudengar lagu ini melalui kaset yang ibuku beli.

Kaset itu dibintangi oleh Abdullah Chik dan Noraniza Idris.

Konsep lagu yang didendangkan adalah lagu Melayu lama.

Satu-satunya lagu yang aku suka ialah Mengapa Dirindu.... dahulu, kini dan selamanya.

Perkongsianku yang sekelumit ini adalah seperti berikut dan insyaAllah, jika selesai sudah tugasanku, akan kukongsi intipati yang terkandung dalam penganalisisanku:


Analisis Lirik Lagu Mengapa Dirindu

Lirik lagu Mengapa Dirindu telah dinyanyikan oleh biduanita Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail. Lagu yang cukup popular ini kemudian dinyanyikan semula oleh beberapa orang penyanyi lain seperti Uji Rashid, Noraniza Idris dan Syura. Lirik lagu ini terdiri daripada tujuh stanza yang tidak terikat atau tidak tetap. Stanza pertama, kedua, keempat dan kelima terbina daripada lima baris kata-kata dalam setiap stanza. Namun, keempat-empat stanza yang tersebut sebenarnya adalah pantun empat kerat.

Lirik lagu Mengapa Dirindu merupakan pujukan seorang insan terhadap insan lain yang sedang berduka kerana gagal dalam percintaan. Pujukan insan ini terlukis melalui setiap stanza, satu demi satu dalam lirik lagu ini. Pujukan yang diberikan memperlihatkan rasa empati terhadap insan yang sedang berduka dan memerlukan sokongan moral. Lantas, lirik lagu ini sebenarnya mengandungi unsur nasihat yang disulam dengan penuh keindahan agar insan yang kecewa akan meneruskan kehidupan.