Thursday, May 17, 2012

Cap Jari

Pada hujung setiap jari kita, terdapat alur-alur kecil yang membentuk corak tertentu yang dinamakan sebagai cap jari. Dengan cap jari inilah kita boleh mengeluarkan duit daripada akaun kita di kaunter-kaunter bank. Dengannya juga kita boleh mencetak penyata akaun KWSP malah kakitangan sesebuah pejabat membuka pintu tanpa perlu menggunakan anak kunci lagi. Dengan cap jari juga pihak polis dan pasukan forensik mampu memberkas penjenayah melalui kesan-kesannya di tempat kejadian.

Apabila Al Quran diturunkan 1400 yang lalu, pengetahuan mengenai cap jari masih belum dapat dinilai oleh masyarakat pada waktu itu. Sehinggalah pada tahun 1856, seorang saintis Inggeris bernama Genn Ginsen menemui corak-corak pada hujung jari seseorang yang begitu unik dan berbeza antara satu individu dengan individu lain.

Penelitian terhadap penciptaan cap jari mempunyai erti yang cukup besar. Ini kerana bentuk dan corak pada cap jari seseorang mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Setiap manusia yang hidup di muka bumi atau yang pernah hidup suatu ketika dahulu mempunyai corak cap jari yang tersendiri yang tidak akan sama dengan orang lain. Bahkan, jika sepasang kembar seiras yang mempunyai DNA (deoxyribonucleic acid) yang sama namun cap jari mereka tetap berbeza.

Cap jari telah terbentuk sejak lahir dan ia tidak akan berubah sampai bila-bila pun melainkan terdapat kecederaan yang menyebabkan parut yang kekal pada jari. Bahkan menurut kajian, didapati cap jari mula terbentuk seawal usia tiga bulan di dalam kandungan.

Alangkah hebatnya ciptaan dan kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Struktur yang kecil tetapi kompleks dan unik, sehingga Allah s.w.t secara khususnya menyebutnya di dalam Al Quran. Jika struktur yang kompleks dari segi bentuk dan fungsinya mampu disusun kembali oleh Allah s.w.t di hari akhirat, apatah lagi struktur lain yang tidak begitu kompleks. Semua ini mengingatkan kepada kita bahawa kepadaNya kita akan kembali.

Artikel tulisan Dr Farhan Hadi Mohd Taib yang bertajuk Keajaiban Jari-Jemari telah dimuatkan dalam majalah SOLUSI Isu 30 pada halaman 95-96.

No comments:

Post a Comment