Aku tersua semula dengan lembaran-lembaran kertas yang di atasnya tertera tulisan yang mewakili pemikiran dan perasaanku.
Antara lembaran-lembaran tulisan itu, aku tersua semula dengan lembaran-lembaran tulisan bertarikhkan tahun 1995, 2000 dan 2004.
Betapa aku terasa akan kepentingan menulis tarikh sebagai bukti dokumentasi.
Sekurang-kurangnya, dapat aku lihat dan nilai pemikiran dan perasaanku pada masa nan lalu.
Barangkali boleh aku lakukan satu perbandingan diakronik.
Antara lembaran tulisan yang ingin aku rakamkan dalam blog ini adalah tulisanku yang tidak bertajuk dan tidak bertarikh.
Namun, ayat pada awal dan ayat pada akhir seperti memberi jawapan apakah barangkali kandungan tulisan ini dan bilakah lebih kurang tulisan ini dicoretkan.
Tulisan ini bermula dengan ayat 'Kepada: Anak-anak muridku' dan diakhiri dengan ayat 'Jadilah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang semata-mata kerana keredhaan Tuhan.'
Ahakz.
Cemerlang, gemilang, terbilang?!
Satu jawapan tentang bilakah tulisan ini dicoretkan meskipun tidak tercoret tarikh tertentu secara khusus.
Semoga tulisan ini tidak ditertawakan kerana aku sendiri ketawa ketika membacanya kerana aku seolah-olah mengibaratkan guru sebagai ibu dengan harapan yang tinggi bak Gunung Ledang terhadap anak-anak muridku.
Begini isi kandungan tulisan di atas lembaran kertas yang boleh disifatkan seperti warkah.
'Kepada: Anak-anak muridku
Guru ibarat ibu. Guru mendidik seperti ibu meskipun guru bukan insan yang melahirkan anak-anak dengan jerih-perih, keringat dan pengorbanan. Namun, guru cuba sedaya upaya memastikan anak-anak murid kenyang dengan kasih sayang dan ilmu pengetahuan yang diharapkan dapat memberi manfaat di sunia dan akhirat. Di sekolah, guru mengambil peranan sebagai ibu. Meneliti sikap dan kelakuan, menegur dan menasihati, mendengar dan berkongsi rasa hati, mengajar dan belajar bersama, mengasah bakat dan mendidik kemahiran, mengingatkan dan memberi perangsang. Guru memandang anak-anak dengan kasih sayang dan kepercayaan bahawa anak-anak adalah aset agama, bangsa dan negara. Guru percaya anak-anak akan menjadi pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia. Di kala masyarakat sedang mengharapkan generasi yang mampu menaungi dan membela, ingatlah bahawa apa sahaja yang anak-anak lakukan adalah untuk keredhaan Tuhan. Keredhaan Tuhan ertinya sesuatu yang mendapat restu Tuhan. Moga beroleh kejayaan berkat usaha, yakin dan sifat tawadhuk. Jadilah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang semata-mata kerana keredhaan Tuhan.'
Ahakz.
Bayangkan aku membacanya di hadapan kelas untuk anak-anak muridku.
Samada tangan mereka menongkat daku kerana berasa bosan, mata terkebil-kebil kerana berasa bosan atau tertidur kerana berasa bosan.
Hmmm...
Seketika aku terfikirkan masa hadapan.
Kemungkinan besar aku akan kembali ke 'bangku sekolah' untuk berkhidmat kepada negara, bangsa dan agama sebagai seorang guru pada tarikh 29 Jun 2012.
Barangkali lebih awal daripada itu tetapi secara tentatif, itulah tarikh yang telah aku maklumkan kepada mereka melalui emel kepada pihak kementerian.
29 Jun 2012 jatuh pada hari Jumaat.
Sekolah yang menjadi tempatku bertugas belum dimaklumkan kepadaku atau barangkali belum diaturkan.
KepadaMu ya Allah, aku berlindung.
Berlindung diri daripada fitnah dunia dan fitnah akhirat di tempatku bertugas.
Berbalik kepada lembaran tulisanku itu tadi, entah mengapa aku rasakan 'nada keibuan' dalam warkah itu bukanlah aku.
Entah mengapa.
Walau bagaimana pun, aku perlu mempersiapkan diri untuk kembali menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai seorang guru..... sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah.
KepadaMu ya Allah, aku berlindung.
Berlindung jiwa raga daripada fitnah dunia dan fitnah akhirat di tempatku bertugas.
Kasihanilah hambaMu ini yang mencintai bidang perguruan dan pendidikan.
No comments:
Post a Comment