ketika kalbuku dan fikrahku berpadu dalam fitrah kuniaanNya, izinkanlah aku menzahirkannya melalui Nurani Nurain... meskipun perutusan ini hanyalah sekelumit daripada segala yang terpendam dan terbenam di dasar jiwa yang dalam, moga-moga perutusan ini dapat memanfaatkan setiap tetamunya... ayuh, kita mulakan pelayaran ini dengan lafaz cinta yang paling agung: BismillahirRahmanirRahim
Wednesday, May 30, 2012
Dialog Anak-Anakku: Mujahid dan Syahid
Adik: Kenapa Abang Mujahid sayangkan Adik? Adik kan nakal. Adik selalu ambil mainan Abang Mujahid tanpa izin. Selepas puas main, Adik tak pulangkan semula mainan Abang Mujahid. Adik pernah pecahkan mainan Abang Mujahid tetapi Adik tak pernah minta maaf pun. Kadang-kadang Adik yang pukul Abang Mujahid apabila Adik tak puas hati dengan Abang Mujahid. Kenapa Abang Mujahid tak pernah balas pukulan Adik? Kenapa Abang Mujahid masih sayangkan Adik padahal Adik kan budak nakal.
Abang: Kenapa tiba-tiba Adik tanya soalan macam tu?
Adik: Sebab Adik nak tahu kenapa Abang Mujahid baik sangat kepada Adik yang nakal dan selalu susahkan Abang Mujahid.
Abang: Abang tahu Adik tidak akan nakal untuk selama-lamanya. Adik Syahid pasti akan jadi seorang anak yang baik suatu hari nanti.
Adik: Baik macam Abang Mujahid. Tapi kenapa Abang Mujahid tetap sayangkan Adik walaupun Adik nakal sangat.
Abang: Kerana Allah yang lebih sayangkan Adik. Kalau Abang tak sayangkan Adik sedangkan yang menciptakan Adik sayangkan Adik, malulah Abang Mujahid kepada Pencipta kita berdua.
Adik: (Senyum). Adik nak jadi baik macam Abang Mujahid.
Abang: Abang tak tahu.
Adik: Abang Mujahid tak tahu yang Adik boleh jadi baik atau tak?
Abang: Abang Mujahid tak tahu sama ada Abang Mujahid akan dapat menjadi anak dan abang yang baik untuk selama-lamanya. Nakal Adik Syahid pun bukan untuk selama-lamanya dan sekarang Adik nak jadi baik.
Adik: Kalau Abang Mujahid nak jadi nakal, siapa nak beri contoh yang terbaik untuk Adik?
Abang: Abang Mujahid bukan nak jadi nakal tetapi Abang Mujahid takut kalau Abang Mujahid tak dapat menjadi baik untuk selama-lamanya. Siapa kita untuk menentukan?
Adik: Abang Mujahid, Adik nak doakan Abang Mujahid sentiasa jadi baik dan dapat temani Adik Syahid untuk jadi baik. Di dunia dan di syurga. (Mendakap Abang Mujahid)
Abang: Adik Syahid, Abang Mujahid pun nak Adik Syahid temani Abang Syahid untuk jadi baik di dunia dan di syurga. (Mendakap Adik Syahid)
[Walaupun bahasa yang direka cipta agak tinggi dan tidak sesuai diujarkan oleh kanak-kanak, dialog yang tercipta hanyalah untuk menyampaikan mesej bahawa fitrah kanak-kanak itu bersih walau bagaimana nakal sekalipun mereka. Lantas, ibu bapa berperanan mendidik jiwa mereka jauh sebelum anak-anak ini dilahirkan dengan ibu bapa terlebih dahulu membersihkan diri dan hati serta mendidik jiwa agar terbit rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Moga dengan didikan ibu bapa yang sentiasa inginkan kebaikan bersumberkan kebenaran seperti yang diwahyukan, lahirlah generasi yang juga baik dalam meniti jalan kebenaran.]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment