Sunday, May 20, 2012

Embrio

'Ketika ramai orang Islam masih ragu-ragu tentang kebenaran ayat-ayat Al Quran, ramai pula saintis yang bukan beragama Islam meyakini akan kebenarannya. Apabila didedahkan dengan ayat-ayat Al Quran, mereka begitu terperanjat kerana ianya bertepatan dengan penemuan hasil kajian mereka. Sudah menjadi lumrah kepada sesiapa yang mengkaji, dialah yang akan menemui. Salah seorang daripada saintis-saintis tersebut ialah Profesor Keith Moore.

Nama Profesor Moore cukup harum dalam bidang perubatan di seluruh dunia. Daripada pelajar perubatan tahun satu sehinggalah doktor-doktor pakar dan profesor-profesor, semuanya mengenali nama tokoh ini. Beliau merupakan salah seorang saintis yang cukup terkenal dalam bidang anatomi (kajian tubuh manusia) dan embriologi (proses perkembangan janin menjadi manusia). Buku Clinical Anatomy yang dihasilkannya merupakan antara buku anatomi yang terbaik dan paling masyhur di kolej-kolej perubatan.

Beliau berasa takjub bagaimana Nabi Muhammad s.a.w boleh menjelaskan mengenai embrio (janin) dan perkembangannya dengan terperinci dan tepat dengan ayat-ayat Al Quran, sedangkan ilmu embriologi hanya diketahui oleh ahli-ahli sains sekitar 30 tahun yang lalu. Perasaan hairan tersebut bertukar menjadi hormat kepada ayat-ayat Al Quran dan hadis tersebut.

Salah satu ayat Al Quran yang menimbulkan perasaan takjub kepada beliau ialah mafhum firman Allah s.w.t: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu sari pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan sari pati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim), Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik." (Surah Al Mukminun 23:12-14)

Dengan ketinggian ilmu yang beliau miliki, beliau telah dapat menemui keserasian ayat-ayat ini dengan ilmu sains moden. Beliau telah menghuraikan ayat-ayat ini dengan ilmu embriologi yang dimilikinya.


Alaqah dan Mudghah

1. Alaqah dalam bahasa Arab mempunyai tiga makna iaitu

(i) Makna pertama alaqah ialah lintah. Apabila dibandingkan lintah dengan embrio peringkat alaqah, beliau mendapati satu persamaan tepat antara kedua-duanya. Beliau menyimpulkan bahawa embrio peringkat alaqah mempunyai bentuk sama dengan lintah.

(ii) Makna kedua alaqah ialah sesuatu yang tergantung. Selepas benih disenyawakan, ia akan bergerak ke dalam rahim ibu (uterus) dan menempel di dindingnya. Embrio yang menempel di dinding rahim akan kelihatan tergantung.

(iii) Makna ketiga ialah segumpal darah. Beliau menjelaskan ketika peringkat alaqah, embrio telah melalui beberapa proses kejadian. Antaranya pembentukan darah dalam tempat yang tertutup (closed vessels) sehinggalah proses metabolik telah sempurna melalui plasenta (uri). Ketika peringkat alaqah, darah mengalir dengan terhad dalam satu tempat yang tertutup. Maka, embrio berbentuk segumpal darah di samping seperti lintah.

2. Mudghah dalam bahasa Arab bermaksud sesuatu yang dikunyah. Profesor mengambil gum dan mengunyahnya. Kemudian beliau membandingkannya dengan gambar embrio peringkat mudghah. Ternyata ia sama.'





Artikel bertajuk Prof. Moore dan Al Quran tulisan Dr Farhan Hadi Mohd. Taib telah diterbitkan dalam majalah SOLUSI Isu 15 pada halaman 95-96.

No comments:

Post a Comment